EXCO Akademi Muda, Pejuang Muda Malaysia, Firas Nasiruddin mempersoalkan keperluan untuk menyegerakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Jelasnya, perkara itu dilihat janggal kerana kerajaan dan Perdana Menteri yang ada pada hari ini adalah daripada UMNO sendiri.
“Tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menggesa supaya PRU-15 segera diadakan seolah-olah langsung tidak cakna dan memikirkan implikasi yang bakal diterima rakyat.
“Sedangkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menjangkakan negara bakal mengalami banjir besar pada pertengahan November ini.
“Mungkin dengan menyegerakan PRU15 ini, Presiden UMNO beranggapan mereka dapat menjadi kerajaan tunggal tanpa bergabung dengan mana-mana parti lain.
“Justeru dengan cara ini, Presiden UMNO mungkin merasakan beliau mampu memegang semula tampuk kuasa negara dan dalam pada itu apakah ada niat yang terselindung dalam dirinya agar tidak memasuki ke penjara,” soal beliau dalam kenyataan hari ini.
Ulas Firas, setakat ini kredibiliti yang ada pada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terbukti bahawa beliau tidak mencampuri urusan politik terhadap institusi kehakiman negara ketika perbicaraan skandal Syarikat SRC International Sdn. Bhd. dijalankan.
“Ismail Sabri seharusnya mengekalkan kredibiliti yang ada dan tidak tunduk dengan hasutan presiden beliau sendiri bagi membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU15 pada tahun ini.
“Jika memegang pada prinsip yang baik dan berkonsepkan ‘Keluarga Malaysia’ mana mungkin PRU15 bakal diadakan pada pertengahan November ini di mana tumpuan kerajaan sepatutnya pada kesiapsiagaan kerajaan untuk menghadapi banjir besar yang kemungkinan bakal berlakU hujung tahun ini,” ujarnya memetik laporan Sinar Harian.
Leave a Reply