PN Johor gesa tangani isu pelajar IPT tinggalkan kampus

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KERAJAAN digesa segera mencari jalan isu pelajar di di institusi pengajian tinggi (IPT) awam yang dijangka menamatkan pengajian masing-masing akibat dihimpit dengan kos sara hidup dan krisis kewangan individu.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, isu itu serius dan kerajaan perlu mencari jalan segera menangani isu tersebut kerana kekangan kewangan sekali gus tidak mampu membiayai yuran pengajian serta perbelanjaan harian mereka.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor itu menyifatkan bantuan kewangan mahupun material kepada pelajar terlibat dapat menyelamatkan masa depan dan potensi mereka daripada tercicir atau sia-sia.

“Bagi PN Johor, membiarkan isu ini berlarutan bakal merugikan negara dari aspek ketirisan bakat dan sumber manusia bahkan kepakaran sekiranya mereka gagal menamatkan pengajian seterusnya masuk ke alam pekerjaan.

“Kami yakin jumlah sebenar pelajar tercicir mungkin lebih ramai berbanding laporan 30,000 pelajar di universiti awam yang gagal menamatkan pengajian ketika pandemik COVID-19 pada 2020 dan 2021 seperti diumumkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Julai lalu.

“Secara amnya, pelajar yang terlibat bukan sahaja dari universiti awam bahkan universiti dan pelbagai IPT swasta termasuk kolej universiti, kolej, pusat kemahiran teknikal serta institut latihan vokasional,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, mereka bukan sahaja gagal melunaskan yuran pengajian malah tidak mampu membayar deposit rumah sewa, tiada wang membeli makanan serta gagal membayar sewa bulanan dan kos pengangkutan.

Menurut beliau, pelajar tersebut dibebani pelbagai kos sara hidup yang tinggi khususnya bagi kampus di Lembah Klang.

Justeru katanya, PN Johor mendesak KPT memberi perhatian khusus isu itu kerana tindakan kementerian dan universiti jika hanya membuat kajian bagi mengenal pasti puncanya adalah tidak bermakna atau akan menyelesaikan masalah tersebut kecuali jika ada tindakan proaktif.

PN Johor juga khuatir ramai pelajar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) gagal menyambung pengajian ke IPT kerana tidak mampu membayar yuran pendaftaran manakala biasiswa pula lewat diluluskan, katanya.

“Kita juga tidak dapat membayangkan bagaimana kecewanya ibu bapa serta nasib dan masa depan pelajar tercicir tersebut termasuk mereka yang berada pada tahun akhir pengajian,” ujar Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor itu.

Dalam isu pelajar IPT keciciran, terpaksa meninggalkan kampus ataupun digantung pengajian ini, beliau berkata, PN bukan berniat mahu memanipulasi atau mengeksploitasi keadaan tetapi harus diberi keutamaan untuk diselesaikan jika diberi mandat menerajui kerajaan sekali lagi selepas Pilihan Raya Umum Ke-15.

Beliau menyarankan KPT berunding dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi mencari kaedah pembiayaan segera atau mengambil tanggungjawab membantu kewangan pelajar terlibat memandangkan prestasi institusi itu mengutip bayaran balik kebelakangan ini adalah tinggi.

“Ketika dipengerusikan Datuk Wan Saiful Wan Jan sebelum ini, PTPTN merekodkan prestasi kutipan bayaran balik yang amat memberangsangkan dan sebahagian dana itu boleh disalurkan kepada pelajar yang memerlukan yang rata-rata adalah Melayu,” ujarnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *