Pengaruh DAP dalam kehidupan generasi politik Melayu mutakhir

SUATU ketika dahulu masyarakat Melayu tradisi khususnya di Terengganu dan Kelantan sering kali dikaitkan dengan golongan yang cukup tebal dan kuat semangat kenegeriannya.

Sentimen serta gaya hidup ala ‘kekampungan’ amat sukar dipisahkan dalam diri warganya.

Malah, imej kenegerian itu bukan sahaja dikaitkan dengan anak-anak yang menuntut di institusi pengajian tinggi awam sebaliknya turut dilihat pada mereka yang berhijrah serta berada dalam perkhidmatan pekerjaan, sama ada kerajaan mahupun swasta.

Sebab itulah bagi kebanyakan anak Terengganu dan Kelantan yang tinggal di luar negeri ketika itu, mereka sentiasa bergerak atau melakukan apa sahaja aktiviti secara bersama di samping mempunyai rangkaian kumpulan di antara satu sama lain.

Penulis perhatikan, mereka tidak akan membiarkan rakan-rakan senegeri berhadapan dengan masalah besar seperti dipukul atau dianiaya oleh golongan bukan senegeri.

Akhirnya jawapan kepada permasalahan tersebut ialah berlakunya pergaduhan dan permusuhan.

Begitulah betapa kuatnya semangat dan perpaduan dimiliki oleh masyarakat Melayu Terengganu dan Kelantan tidak lama dahulu.

Mereka sentiasa hidup dalam suasana harmoni dan setiakawan dan hormat menghormati antara satu sama lain.

Asas dan pegangan utama dalam kehidupan masyarakat ketika itu ialah Melayu dan Islam, iaitu dua simbol perkataan utama yang sememangnya  terlalu sukar diganggu gugat walapun terpaksa ditembusi peluru.

Perkara ini wujud memandangkan setiap orang Melayu memiliki semangat kekeluargaan dan terlalu tebal jati dirinya sehinggga sukar dipengaruhi orang luar, apatah lagi bangsa asing.

Berdasarkan itulah kenapa usaha DAP untuk melebarkan sayapnya ke Terengganu dan Kelantan sebelum ini pernah menemui jalan sukar dan berakhir dengan ‘kematian’ apabila rakyat di kedua-dua negeri Pantai Timur ini menolak parti tersebut kerana mengkategorinya sebagai parti kafir atau tidak Islam.

Ketika itu, rata rata masyarakat di Terengganu dan Kelantan terlalu bencikan DAP, mereka mengaitkan DAP sebagai parti komunis, menyebabkan parti berkenaan tidak mampu menawan hati rakyat termasuk daripada kalangan masyarakat Cina sendiri yang memiliki sentimen berbeza berbanding negeri lain.

Bagaimanapun, itu cerita dahulu, kini zaman telah berubah dan seperti juga di negeri-negeri lain, masyarakat Melayu Terengganu dan Kelantan kini ramai yang telah menjadi golongan cerdik pandai dalam pelbagai bidang termasuk tokoh korporat dan politik.

Mereka berpolitik dengan pelbagai cara dan gaya sehingga ada kalanya terlupa tentang masa depan, iaitu terlupa semangat jati diri dan sejarah kebangkitan Melayu silam yang semakin pudar dan terhakis.

Young Syefura Othman

Akhirnya mereka juga terlupa tentang kehidupan generasi akan datang.

Lebih malang, ada kalanya kita mendapati tindakan rakus sesetengah individu  menceburi bidang politik disebabkan kepentingan peribadi, sehingga ada yang sanggup membelakangi nilai nilai normal yang berhubung kait dengan masyarakat Melayu itu sendiri.

Perkembangan ini sekaligus meletakkan masyarakat Melayu kini sedang berada di ambang perpecahan, selain kehidupan mereka itu sendiri dianggap sebagai generasi terakhir.

Sebab itulah tindakan sesetengah orang Melayu yang menyertai DAP bukan sahaja dianggap sebagai perosak bangsa, sebaliknya mereka turut dikaitkan sebagai Melayu tidak ‘sedar diri’.

Penulis difahamkan, walaupun kebanyakan parti politik khususnya di Terengganu tidak bimbang dengan kemunculan DAP di negeri ini kerana parti itu tidak mungkin akan menang, namun ia mampu memecah belahkan orang Melayu.

Menurut pandangan penganalisis dan pemerhati politik, itulah cara halus dan strategi digunakan oleh pemimpin DAP bagi menghakis kekuasaan Melayu.

Ketika kebanyakan pemimpin parti politik Melayu asyik bercakaran sesama sendiri, DAP dalam diam terus menguatkan pengaruh politiknya dengan menarik orang Melayu khususnya golongan muda dan berlatar belakang agama menyertainya.

Selain melebarkan kekuasaannya dengan membuka cawangan di kawasan Melayu, mereka turut melantik orang Melayu sebagai pemimpin.

YB Rara Marina Ibrahim
Calon Pakatan Harapan (PH) dari DAP, Marina Ibrahim. GAMBAR: Warta Rakyat

Setakat ini DAP berjaya mengukuhkan partinya dengan menggunakan nama-nama seperti Tengku Zul Puri Shah Raja Puji Parlimen Raub), Zairil Khir Johari (DUN Tanjung Bungah), Sheikh Omar Bagharib Ali (bekas DUN Paloh), Young Syefura Othman (DUN Ketari), Dr. Abdul Aziz Bari (DUN Tebing Tinggi), Edry Faizal Eddy Yusof (DUN Dusun Tua), Syerleena Abdul Rashid (DUN Seri Delima) dan Jamaliah Jamaluddin (DUN Bandar Utama.

Ada juga pemimpin pplitik berpendapat, mereka yang menyertai DAP sama ada menjadi ahli atau sebagai calon bukan sahaja boleh dianggap sebagai Melayu tidak sedar diri, tetapi juga Melayu tidak tahu asal keturunan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *