Emak tidak tahu saya boleh melawak-Yassin Senario

YASSIN Yahya, 44, mendedahkan beliau seorang yang serius berbanding personalitinya sebagai pelawak popular yang dikenali orang ramai.

Beliau yang dikenali menerusi sitkom Senario berkata, hanya kerjanya sebagai pelawak saja yang membuat orang terhibur sedangkan realiti dirinya sangat berbeza.

“Di rumah, emak terkejut saya menjadi anggota Senario. Ia memang di luar pengetahuannya. Saya ingat lagi kali pertama episod pembabitan saya dengan Senario ditayangkan. Saya takut nak tengok TV dengan emak, tapi saya nak tengok reaksi dia apabila tonton saya bersama Senario ketika itu.

“Saya nampak anak matanya waktu tengok cerita Senario. Emak panggil saya dengan panggilan Anje. Dia tanya ini kau ke, sambil tunjuk ke arah TV,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Yassin ditemui di program Fiesta Market Celebrity sempena Pameran Datuk Sudirman Hj Arshad Warisan Sudir: Tribute Kepada Penghibur No 1 Asia di sebuah pusat beli-belah di Jalan Bukit Bintang, di Kuala Lumpur.

Dalam program itu, seramai 16 selebriti antaranya Syanie, Riezman Khuzaimi, Azan Scan, Norli Tamam, Azlee Khairi dan Yassin membuka gerai menjual produk keperluan bermula kelmarin hingga hari ini.

Bercerita lanjut, Yassin akhirnya mengaku wajah yang muncul di kaca TV itu adalah dirinya sekali gus membuatkan ibunya terkejut.

“Emak kata kenapa dalam TV saya kelakar sedangkan kalau di rumah mulut saya macam ada mutiara. Maksudnya di rumah saya pendiam.

“Saya tak tahu nak jawab apa, tapi saya mengaku saya seorang yang serius melaksanakan sesuatu kerja,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *