Skandal rasuah: Hakim Mahkamah Agung Indonesia ditahan

BADAN antirasuah Indonesia semalam menahan seorang hakim Mahkamah Agung negara ini setelah didakwa terbabit dalam skandal rasuah, seorang daripada majistret paling berprofil tinggi berdepan siasatan itu.

Agensi berita Reuters melaporkan, Timbalan Ketua Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) dalam satu sidang media, berkata Hakim Sudrajad Dimyati ditahan selepas melaporkan diri kepada agensi itu secara sukarela pada hari sama.

KPK turut menahan enam suspek lain yang disyaki terbabit dalam kes rasuah membabitkan nilai 2.2 bilion rupiah (RM666,532) untuk mendapatkan keputusan yang memihak bagi kes rayuan oleh koperasi pemberi pinjaman yang berdepan masalah insolvensi.

Pengerusi KPK, Firli Bahuri sebelum itu secara terbuka menggesa Sudrajad dan tiga yang lain supaya menyerah diri.

Bagaimanapun, Sudrajad tidak segera memberi reaksi kepada permintaan untuk mengulas dakwaan tersebut.

Pegawai Jabatan Pengawasan Mahkamah Agung, Zahrul Rabain berkata,
Sudrajad akan digantung tugas, namun tidak menyatakan berapa lama tempohnya.

Menurut Firli, KPK melakukan serbuan di Jakarta dan Semarang pada minggu ini dan menahan enam individu serta merampas wang tunai hampir AS$148,000 (RM677,618) di rumah seorang pegawai Mahkamah Agung, majoritinya dalam mata wang dolar Singapura dengan sebahagiannya disembunyikan dalam ruang kosong dalam kamus.

Media melaporkan, seorang peguam dari koperasi pemberi pinjaman semalam memberitahu pemberita di KPK, beliau bersedia ‘untuk dihukum seberat mungkin’.

KPK ditubuhkan pada 2002 selepas kejatuhan Presiden Suharto, yang mana pemerintahannya didakwa pengkritik sebagai kleptokrasi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *