TINDAKAN dua remaja lelaki memalsukan nombor pendaftaran motosikal mereka mengundang padah apabila ditahan dalam OP Motosikal di Kuala Lumpur, awal pagi ini.
Memetik laporan Harian Metro, seorang remaja terbabit memberi alasan sekadar untuk suka-suka menggunakan nombor pendaftaran 4Y1E (Ayie) namun perbuatannya itu menyalahi undang-undang.
Seorang lagi remaja yang ditahan memalsukan nombor pendaftaran kenderaannya bagi mengelak membayar hutang motosikal.
Menurut Facebook Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, operasi dijalankan bermula pukul 2 pagi hingga 4 pagi di sekitar pusat bandar menahan remaja terbabit berusia 18 dan 19 tahun.
“Mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan akan dituduh mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memalsukan nombor pendaftaran kenderaan.
“Selain itu enam remaja lelaki berusia 16 hingga 21 tahun ditahan selepas terbabit dalam samseng jalanan,” katanya.
Katanya, mereka dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain.
“Tiga motosikal turut disita dan 106 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik,” katanya.
Leave a Reply