KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) membelanjakan lebih RM1 bilion bagi Program Jalan Luar Bandar (JALB) untuk menyediakan sistem perhubungan luar bandar ke bandar yang lebih sempurna.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Program JALB dilaksanakan selaras dengan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) untuk memperbaiki, memperluas dan mempertingkatkan rangkaian sistem jalan raya di kawasan luar bandar.
“KPLB mensasarkan untuk memperluaskan 100 peratus liputan prasarana asas di kampung-kampung di Semenanjung Malaysia dan 80 peratus di kampung-kampung di Wilayah Sabah dan Sarawak.
“Bagi tujuan berkenaan pada tahun ini sahaja lebih RM306 juta telah diperuntukkan untuk pembangunan jalan luar bandar bagi Wilayah Sabah dan lebih RM221 juta untuk Wilayah Sarawak,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Projek Menaiktaraf Jalan Rancangan Belia Tiulon – Kg. Simbuan, Sook, di Keningau.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup dan Timbalan Menteri I KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Jelas Mahdzir, Projek Menaiktaraf Jalan Rancangan Belia Tiulon – Kg. Simbuan, Sook, Keningau, telah diluluskan di bawah Rolling Plan Kedua, Rancangan Malaysia Kedua Belas, (RP-2, RMK12) tahun 2022 dengan kos RM152 juta.
“Projek ini melibatkan kerja-kerja menaiktaraf jalan sepanjang 20 kilometer dengan lebar berturap 6.5 meter mengikut piawaian JKR R2 dan agensi pelaksananya adalah JKR Sabah.
“Jajaran jalan ini juga akan menghubungkan penduduk kampung ke Pekan Sook dan Pekan Keningau serta menghubungkan 13 buah kampung, 3 buah sekolah, klinik, rumah-rumah ibadat dengan anggaran jumlah penerima manfaat adalah seramai 2,000 orang,” kata beliau.
Mengulas projek menaiktaraf itu tambah Mahdzir, ia dijangka ditender pada hujung September ini dan kerja pembinaan dijangka dapat dimulakan pada suku pertama tahun hadapan.
“Dengan pembinaan projek ini, ianya akan dapat memberi manfaat kepada penduduk kampung sekitar untuk mengangkut hasil-hasil tanaman serta memberi kemudahan perjalanan kepada penduduk kampung,” katanya.
Projek itu juga kata Mahdzir lagi, dapat menjimatkan masa dan kos perjalanan, lebih selamat selain mampu menjana peningkatan ekonomi
Leave a Reply