Bayi baru lahir cukup sifat ditinggalkan di atas jalan raya

SEORANG bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui ditinggalkan di atas jalan raya di Jalan Kampung Korikot, Tambunan, Sabah hari ini.

Lapor Berita Harian, bayi cukup sifat itu ditemui orang awam kira-kira pukul 1.05 pagi sebelum melaporkannya kepada pihak polis.

Menurut Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan bayi itu pada pukul 2.38 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati bayi perempuan itu dijumpai orang awam ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Bayi itu ditemukan cukup sifat di atas jalan raya dalam keadaan dibalut dengan kain putih bercorak bunga.

“Orang awam yang terkejut dan terus mengangkat bayi itu masuk ke dalam kereta,” katanya hari ini.

Beliau tambah laporan itu berkata, bayi berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Tambunan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Bayi itu dalam keadaan stabil dan masih mendapatkan rawatan di Hospital Tambunan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

Nor Rafidah meminta orang ramai yang ada maklumat berkaitan kes itu segera menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Damsa Dahlan di talian 016-4486747.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *