Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
TIDAK perlu prejudis dengan hasrat Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) untuk bersama menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abd. Aziz berkata, keikhlasan parti itu tidak wajar dipertikaikan dan pihaknya sedia bertemu mana-mana pihak dalam PH untuk memberi penjelasan sekiranya masih ada keraguan.
“Kita terbuka untuk berjumpa menerusi meja rundingan, sekiranya ada apa-apa persoalan kita terus selesaikan segala keraguan yang ada.
“Saya faham keraguan itu. Saya faham bila mana-mana parti baharu nak sertai gabungan yang sudah terbentuk, keraguan itu akan ada,” katanya dalam sidang akhbar menolak PRU-15 ketika banjir di Kampung Kangkar Tebrau, Johor Bahru, semalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa mengulas kenyataan beberapa ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang meragui hasrat Muda mahu sertai PH pada PRU-15.
Semalam, PH dalam satu kenyataan memaklumkan akan menubuhkan jawatankuasa rundingan bagi membincangkan permohonan keanggotaan Muda dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk bekerjasama dengan gabungan itu secara rasmi pada PRU-15.
Amira Aisya menjelaskan, hasrat Muda untuk bersama-sama PH bukan baharu malah sejak awal pendaftaran parti berkenaan sudah bergerak bersama-sama gabungan tersebut dalam pelbagai bentuk.
“Sebagai contoh kita menyuarakan isu-isu rakyat bersama-sama PH. Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Presiden Muda) di peringkat Parlimen sering bersama blok pembangkang apabila membuat keputusan contohnya bersama PH semasa membuat keputusan tentang bajet,” katanya.
Menurutnya, Muda tetap akan bekerjasama dengan PH pada PRU-15 walaupun tidak diterima secara rasmi dalam gabungan tersebut dan akan memastikan tiada pertembungan kerusi antara Muda-PH.
Namun katanya, fokus Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti itu adalah jelas iaitu segala perbincangan tertumpu untuk memastikan kerjasama Muda dengan PH menjadi realiti.
“Apa sahaja keputusan kita akan pastikan tidak akan ada pelanggaran kerusi, itu objektif paling utama hadapi PRU15. Apa pun kita nak pastikan jika kita tidak diterima secara rasmi pun dalam PH, kita akan pastikan kerjasama itu masih ada, sekiranyalah,” ujar beliau.
Tambahnya, permohonan Muda untuk bekerjasama itu menampakkan perkembangan baharu apabila semalam, komponen PH iaitu PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menerima wakil Muda dan PSM untuk perbincangan tersebut.
Leave a Reply