BEKAS wanita pertama Honduras, Rosa Bonilla dihukum penjara 14 tahun oleh sebuah mahkamah semalam, selepas didapati bersalah menipu dan menyeleweng dana untuk kanak-kanak miskin, kata jurucakap kehakiman.
Free Malaysia Today dalam laporannya memetik agensi berita Reuters melaporkan, menurut Kementerian Awam, isteri bekas presiden Porfirio Lobo itu membelanjakan dana bagi membantu kanak-kanak miskin berjumlah USD12.2 juta (RM55.7 juta) untuk membayar kad kredit, yuran sekolah anak-anaknya dan pembinaan hartanah.
Peguamnya, Juan Berganza berkata, beliau akan membuat rayuan terhadap hukuman berkenaan.
“Bekas wanita pertama, Rosa Elena Bonilla dihukum penjara 14 tahun sebulan atas jenayah penipuan dan menyeleweng dana awam untuk program sosial,” kata jurucakap Mahkamah Agung, Carlos Silva kepada wartawan.
Bonilla sebelum ini dihukum penjara 58 tahun dalam perbicaraan terdahulu, tetapi dibatalkan Mahkamah Agung pada awal 2020 atas alasan tidak konsisten.
Mahkamah Agung mengarahkan perbicaraan semula di mahkamah rendah, yang kemudiannya mendapati Bonilla bersalah pada Mac lalu.
Lobo dilantik sebagai presiden pada 2009, selepas rampasan kuasa tentera yang menggulingkan kerajaan pimpinan presiden ketika itu, Manuel Zelaya. Lobo berkuasa hingga 2014.
Seorang anak lelaki pasangan itu, Fabio Lobo, dihukum penjara 24 tahun oleh sebuah mahkamah di Amerika Syarikat pada 2017, selepas mengaku bersalah berkonspirasi menyeludup kokain ke negara itu.
Leave a Reply