Ganjaran tunai RM150,000 jika temui Chong Loong hidup

AHLI keluarga kepada lelaki yang hilang ketika melakukan pandu uji jet ski di perairan berdekatan Pulau Talang-Talang, Sematan dekat Kuching menawarkan ganjaran sehingga RM150,000 kepada mereka yang berjaya menemukan mangsa.

Memetik laporan Harian Metro, berdasarkan satu poster yang tular semalam, keluarga Lee Chong Loong menawarkan ganjaran RM30,000 dan jika mangsa ditemukan masih hidup pula ganjaran RM150,000 akan diberikan.

“Jika anda mempunyai sebarang maklumat, sila hubungi 019-8553333 atau 016-8872000. Kami merayu kepada orang awam untuk membantu mencari Lee yang dilaporkan hilang semasa menaiki jet ski dari Pulau Talang Talang ke jeti Santubong.

“Pertolongan dalam pencarian Lee amat diperlukan secepat mungkin,” kata keluarga mangsa dalam poster itu.

Chong Loong, 46, kali terakhir dilihat memakai baju lengan panjang dan seluar panjang berwarna hitam dilaporkan hilang pada sekitar pukul 4 petang Jumaat lalu.

Mangsa juga dikatakan mempunyai tatu SED di badannya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu, Pegawai Bomba Kanan 1, Jaree Mohamad berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kelima semalam masih gagal mengesan mangsa.

Menurutnya, anggota SAR dari BBP Lundu sudah melakukan pencarian menggunakan sebuah bot penyelamat di sekitar Pulau Talang-Talang dan seterusnya di Muara Sungai Lundu.

Operasi juga disertai anggota SAR dari BBP Petra Jaya yang menjalankan pencarian menggunakan dua buah bot penyelamat di persisiran pantai dari Tanjung Serpan sehingga kawasan Pulau Talang-Talang selain sekitar Pantai Trombol dan Muara Sungai Buntal.

Namun mangsa masih belum dijumpai dan operasi SAR disambung hari ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *