AHLI perniagaan warga Malaysia, Leonard Glenn Francis yang melarikan diri daripada tahanan rumah di San Diego, awal bulan ini selepas mengaku bersalah dalam skandal rasuah tentera laut Amerika Syarikat (AS) ditahan di Venezuela pagi kelmarin.
Portal NBC News melaporkan, lelaki yang dikenali sebagai ‘Fat Leonard’ ditahan ketika cuba menaiki pesawat di lapangan terbang antarabangsa Caracas.
Pegawai kanan Polis Antarabangsa (INTERPOL) di Venezuela, Carlos Garate Rondon berkata, Francis memasuki negara itu dari Mexico sebelum Cuba dan destinasi terakhirnya adalah Rusia.
Dia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Simón Bolívar di ibu negara Venezuela dan kekal dalam tahanan sementara menunggu proses ekstradisi oleh pihak berkuasa AS.
Francis dilaporkan melarikan diri dengan memotong gelang peranti pemantauannya pada 4 September sebelum melarikan diri dari kediamannya di San Diego.
Pada 2015, dia mengaku bersalah merasuah pegawai tentera laut AS dalam skandal bernilai AS$35 juta (RM160 juta) setelah ditahan pada 2013.
Leave a Reply