JABATAN Penjara Malaysia mengesahkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sedang mendapatkan rawatan dan pemantauan lanjutan di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC).
Memetik laporan Berita Harian, jabatan itu dalam kenyataan berkata, selaras dengan Seksyen 37 Akta Penjara, Najib dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan oleh pakar perubatan susulan perintah Mahkamah Tinggi pada 12 September lalu susulan keadaan kesihatannya tidak memuaskan.
“Pada 19 September 2022, pihak HKL telah merujuk Najib ke HRC untuk rawatan dan pemantauan lanjutan hingga kini.
“Datuk Seri Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara sebaik sahaja pihak pakar perubatan HRC atau HKL memberikan pelepasan perubatan ke atas beliau,” kata jabatan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, ia selaras dengan Seksyen 37 Akta Penjara dan peruntukan di bawah akta itu serta Peraturan Minimum Standard Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Layanan Terhadap Banduan (Peraturan Mandela).
“Sebagai pihak berkuasa yang melaksanakan tanggungjawab di bawah Akta Penjara, pihak Jabatan Penjara selain melaksanakan hukuman yang telah dijatuhkan juga bertanggungjawab memastikan tahap kesihatan seseorang banduan sentiasa dipantau dan dijaga termasuk penyediaan kemudahan rawatan dan ubat-ubatan sebagaimana yang disyorkan oleh pegawai perubatan kerajaan,”katanya.
Sebelum ini, Pegawai Khas Najib Muhamad Mukhlis Maghribi, dilaporkan mendakwa tekanan darah Najib berada pada tahap tinggi dan berbahaya susulan pertukaran ubat yang diberikan untuk merawat masalah ulser di dalam perutnya.
Pada 23 Ogos lepas, Najib dihantar ke Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya kerana menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Najib, 69, juga menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Leave a Reply