Lagi cebisan tulang ditemukan di tapak kuari

PASUKAN penyelamat menemukan lagi beberapa cebisan tulang dipercayai milik seorang lagi mangsa dalam insiden runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai- Cameron Highlands, dekat Ipoh, tengah hari ini.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris, cebisan tulang itu ditemukan berhampiran dengan lokasi kedua bangkai jengkaut yang dijumpai semalam.

“Ketika kerja-kerja pencarian di lokasi runtuhan batu itu dilakukan bersama pihak kuari, kita telah menemukan cebisan tulang di lokasi bangkai jengkaut kedua sekitar pukul 12 tengah hari.

“Operasi pencarian hari ini telah dimulakan pada jam 8 pagi dengan kekuatan 10 anggota termasuk seorang pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai,” katanya kepada Astro Awani.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerja-kerja penggalian bagi melebarkan kawasan carian terpaksa ditangguhkan sementara pada pukul 12.45 tengah hari ekoran hujan lebat, namun, bersambung semula sejam selepas itu selepas hujan mulai reda.

Semalam, media melaporkan, dua bangkai jengkaut dijumpai di lokasi dua mangsa tertimbus dalam insiden runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai di sini sejak Mac lalu.

Turut ditemukan berhampiran bangkai jengkaut adalah rangka tulang, rambut dan pakaian disyaki milik salah seorang mangsa.

Kejadian runtuhan batu di tapak kuari pada 8 Mac lalu sekitar pukul 9.15 pagi mengakibatkan dua mangsa tertimbus iaitu Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *