Hujung tahun banjir tapi kenapa BN mahu PRU jugak?

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan diadakan pada penghujung tahun ini walaupun negara dilanda landa banjir? Itulah isu panas dan heboh diperkatakan banyak pihak dalam sehari dua ini.

Ia mula tercetus apabila Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, parti itu sanggup meredah banjir dan hujan lebat, sekiranya PRU-15 diadakan tahun ini.

Ini kerana kata Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, isyarat yang diberikan ahli parti supaya PRU-15 diadakan dalam masa terdekat adalah jelas dan nyata.

Katanya, ia berdasarkan laungan ‘Bubar’ oleh lebih 10,000 pemuda BN yang bergema dalam Stadium Titiwangsa pada Sabtu lalu. Oleh itu beliau berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dapat menetapkan tarikh pembubaran Parlimen.

Dalam pada itu, beliau tidak tahu ada kekangan akhir tahun ini iaitu banjir, hujan lebat dan angin monsun Timur Laut tetapi kalau Perdana Menteri bubar masa banjir pun, parti itu sanggup redah banjir untuk bertanding.

Kenyataan itu dibidas banyak pihak kerana ia dianggap mementingkan diri dan tidak masuk akal untuk mengadakan PRU ketika bencana banjir mengancam.

Ssetiap hujung tahun khususnya di Pantai Timur, Kelantan, Pahang, Terengganu dan sebahagian Johor sentiasa dilanda banjir besar yang menyebabkan sistem perhubungan terputus di samping ribuan penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Ekoran itu Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli bercadang mengadakan pungutan suara
bagi menunjukkan rakyat tidak bersetuju desakan UMNO dan BN mengadakan PRU-15 pada tahun ini.

Presiden Amanah Mohamad Sabu pula menyifatkan pelaksanaan PRU-15 ketika negara dijangka berdepan musim tengkujuh dan banjir sebagai tindakan terburu-buru dan menyusahkan rakyat.

Beliau berkata, dalam setiap PRU, keselesaan kepada rakyat mestilah sentiasa diberi keutamaan.

Bagi Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, kenyataan Ahmad Zahid dianggap sebagai orang yang pentingkan kuasa politik sehingga sanggup mempertaruhkan nyawa rakyat.

Naib presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan tindakan mengadakan PRU15 pada musim banjir sebagai kerja gila.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berpandangan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-15 perlu mengambil kira keselesaan rakyat yang akan pergi mengundi.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memberi peringatan pertengahan November, kemungkinan banjir besar berlaku kerana angin monsun timur laut aktif ketika itu.

Pesoalannya kenapakah Ahmad Zahid bersama UMNO dan BN terlalu beriya-iya untuk mengadakan PRU-15? Apakah muslihat di sebalik desakan tersebut sehingga amaran dikeluarkan MetMalaysia berhubung banjir besar tidak dipedulikan?


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *