SEORANG pembantu makmal sains Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Udang di Melaka dikejarkan ke sebuah klinik selepas cecair dipercayai jenis asid nitrik terpercik mengenai kakinya dalam kejadian pagi ini.
Pegawai Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Zulkhairani Ramli berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.33 pagi, sebelum tiga jentera bomba dengan 17 anggota termasuk Pasukan Khas Bahan Kimia (Hazmat) diarahkan ke lokasi kejadian.
“Wanita berusia 37 tahun itu ketika kejadian sedang dalam proses memindahkan bahan kimia tersebut ke dalam bekas yang lain sebelum botol berisi cecair kimia dianggarkan 2.5 liter itu jatuh lalu terpercik ke kakinya.
“Mangsa dinyahcemar oleh pasukan Hazmat sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Sungai Undang walaupun tidak mengalami kecederaan bagi pemeriksaan lanjut dengan menggunakan kenderaan EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya tiada pelajar ketika insiden berlaku dan kemalangan terjadi disebabkan bekas bahan kimia tersebut reput lalu pecah ketika proses pencairan dilakukan, menyebabkan cecair tersebut tumpah.
“Kerja-kerja pembersihan tamat sekitar 2.11 petang tadi,” katanya. – BERNAMA
Leave a Reply