Bekas Ketua Menteri Melaka meninggal dunia

BEKAS Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Adib Mohamad Adam menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi tadi kerana sakit tua.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 81 tahun.

Isteri Allahyarham, Datin Seri Zainiah Hussein, 77, berkata suaminya telah dibawa dan dimasukkan ke HKL malam tadi selepas mengadu sesak nafas.

“Pada pukul 8.20 pagi tadi, doktor hubungi maklumkan suami saya telah meninggal dunia… Allahyarham meninggal dunia kerana sakit tua.

“Allahyarham tidak pernah mengadu sakit sebelum ini, cuma dalam sebulan lepas beliau mengalami strok, keadaannya juga agak lemah dan ingatannya adakala ingat adakala tidak,” katanya ketika ditemui Bernama di Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, Ampang, dekat sini hari ini.

Jenazah dimandi dan dikafankan di masjid berkenaan sebelum disembahyangkan pada 4.25 petang oleh lebih 100 jemaah yang diimamkan oleh Imam 1 Masjid Darul Ehsan Mohamad Khairi Hussein.

Jenazah kemudiannya akan dibawa ke Melaka untuk dikebumikan di Makam Pahlawan Melaka selepas Maghrib. 

Allahyarham yang dilahirkan pada 2 Julai 1941, meninggalkan isteri Datin Seri Zainiah Hussein serta dua anak lelaki dan dua anak perempuan.

Mohd Adib menyandang jawatan Ketua Menteri Melaka kelima dari 11 Julai 1978 hingga 26 April 1982, selain pernah memegang jawatan Menteri Penerangan dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Koperasi dan Usahawan.

Sementara itu, ahli keluarga terdekat Allahyarham, Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi berkata semasa hayatnya, tokoh politik dan ahli korporat berpengalaman itu banyak menyumbang jasa terutamanya kepada orang kampung di Kampung Kesang Tua Jasin, Melaka. 

“Beliau membantu ramai orang, beliau melakukan tugasnya dengan baik dan sangat dinamik dalam kerjanya… Allahyarham meninggalkan dunia politik sekitar 1988 sebelum beralih ke dunia perniagaan,” katanya.- BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *