Wajah berubah, Zoey Rahman didakwa suntik botox

PERUBAHAN wajah pelakon dan pengacara, Zoey Rahman, 37, yang semakin ketara setiap hari menjadi perbualan hangat netizen hingga ada pihak yang menuduhnya membuat pembedahan hidung dan wajah, tak kurang juga ada yang mendakwa dia melakukan suntikan botox.

Namun jejaka kelahiran Besut, Terengganu itu menafikan tuduhan liar warganet sebaliknya mendakwa perubahan wajah mungkin disebabkan penapis atau filter digunakan dalam TikTok.

Hakikatnya, pemilik nama Mohd Hairey Azhar Abd Rahman itu juga sudah lali dengan pelbagai tuduhan netizen yang disifatkannya bukan perkara baharu.

“Sebenarnya, saya menggunakan ‘filter’ dan ramai tahu dalam TikTok ada pelbagai jenis tapisan. Nak kuruskan atau menggemukkan muka semuanya boleh.

“Tetapi, saya salah menggunakan tapisan. Saya baru balik dari Pulau Mabul, jadi wajah agak terbakar.

“Malangnya, saya gunakan tapisan tidak kena dengan muka. Kalau tengok wajah saya secara berdepan, sama sahaja,” katanya dalam Berita Harian Online.

Reaksi netizen itu susulan tindakan terbaharu Zoey berkongsi video tutorial solekan menggunakan produk jenamanya sekali lagi menjadi bualan. Apa yang mencuri perhatian bukanlah tutorial dilakukan, sebaliknya wajahnya yang kelihatan berbeza daripada sebelum ini.

Namun Zoey menjelaskan, dia sentiasa bersikap terbuka berdepan tuduhan melakukan pembedahan plastik.

“Bagi saya, nak buat, buatlah…. Kalau tak nak buat, tak mengapa, itu hak individu.

“Sebagai selebriti dan usahawan produk kosmetik, saya kena jaga penampilan diri.

“Nanti apa pula orang kata bila tengok muka saya tak bersiap. Jujurnya, saya memang buat rawatan muka dan seumpamanya,” katanya.

Kata laporan BH Online itu lagi, pengacara yang mula dikenali menerusi program kanak-kanak, Gerak Geri Gasing itu memaklumkan, dia juga harus jaga penampilan kerana itulah beza antara artis dan orang biasa.

“Kita tahu pasaran artis adalah bakat dan rupa. Kalau ada rupa dan bakat, itu namanya pakej.

“Jadi, soal imej dan penjagaan wajah perlu dititik berat,” katanya.

Bagaimanapun, Zoey berkata, dia tidak terkesan, malah sikit pun tak terasa hati apabila netizen buat perbandingan wajah dahulu dan sekarang.

“Nak komen, komenlah. Saya sudah biasa kecaman dan kritikan. Dari dahulu pun, netizen suka komen bukan-bukan.

“Bagi saya, lebih baik masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Itu semua permainan di hujung jari netizen.

“Setiap isu kalau tular pun seminggu atau dua sahaja. Selepas itu, netizen lupa dan tidak mempertikaikan lagi.

“Saya malas ambil peduli komen netizen, boleh jadi gila. Jadi, biarlah ia berlalu begitu sahaja,” katanya.

Zoey berkata, jika dahulu mungkin perasaannya sedih, tetapi sekarang, dia hanya baca dan ada masanya tergelak.

“Sebab netizen tidak faham situasi sebenar, mereka main hentam sahaja.

“Mereka hanya tengok dalam media sosial, tetapi realitinya berbeza,” katanya yang bakal menjayakan drama di TV3 pada November depan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *