Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
RANCANGAN Rancangan kerajaan membubarkan Parlimen selepas membentangkan Bajet 2023 pada 7 Oktober ini adalah tidak bertanggungjawab.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, sepatutnya apabila bajet itu dibentangkan perlu dibahaskan terlebih dahulu sebelum melalui proses undian untuk diluluskan.
Justeru beliau menasihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan Persekutuan supaya membentangkan Belanjawaan 2023 yang betul dan bukan sandiwara.
“Kita tidak mahu pembentangan belanjawaan olok-olok atau wayang pada 07 Oktober ini nanti kerana Perdana Menteri dan Kabinetnya sebenarnya telah membuat keputusan untuk membubarkan Parlimen selepas pembentangan Belanjawan.
“Jika itu berlaku belanjawan yang dibentangkan pada 7 Oktober itu nanti menjadi sia-sia sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hassan berkata, sepatutnya selepas bajet itu dibentangkan perlu diikuti dengan perbahasan di Dewan Rakyat sepenuhnya di peringkat dasar dan jawatankuasa bagi setiap kementerian.
Selepas perbahasan katanya, perlu dijalankan pengundian bagi setiap kementerian dan belanjawan keseluruhan negara juga adalah wajib dijalankan undian supaya Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan.
Kemudian selepas diluluskan Dewan Rakyat akan dibentangkan untuk kelulusan Dewan Negara sebelum menjadi Undang-undang dan proses itu mengambil masa sehingga ke Disember ini, katanya.

“Ini bermakna Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) hanya boleh diadakan pada tahun 2023. Sebaliknya, bagi sebuah kerajaan Persekutuan yang tidak bertanggungjawab, ia akan membentangkan Belanjawan 2023 pada 07 Oktober 2022.
“Beberapa hari kemudian sebelum dibahaskan dan diluluskan Perdana Menterinya menghadapi Yang diPertuan Agong untuk membubarkan Parlimen bagi mengadakan PRU-15,” katanya.
Jelasnya, kerajaan campuran yang tidak bertanggungjawab itu akan membentangkan bajet berkenaan yang sebenarnya untuk PRU dengan segala gula-gula dan janji manis untuk memancing Rakyat supaya mengundi mereka.
Hassan mendakwa, kerajaan itu tidak peduli dengan kemungkinan besar banjir yang akan berlaku pada November dan Disember nanti.
“Kerajaan yang tidak bermoral ini akan bentangkan belanjawan negara bersifat sandiwara dengan tujuan hanya untuk mendapatkan undi rakyat dalam pilihan raya umum pada musim banjir.
“Apabila Parlimen dibubarkan sedangkan Belanjawan tahun 2023 yang dibentangkan tetapi belum diluluskan maka semua prosiding sidang Parlimen itu hanya jadi wayang sahaja untuk menipu rakyat,” katanya.
Selepas PRU-15 nanti kataya, RUU Perbekalan 2023 (Belanjawan) perlu dibentangkan semula oleh Kerajaan Persekutuan yang baharu.
“Daripada segi undang-undang Perlembagaan, kerajaan Persekutuan bagi Parlimen Keempat Belas adalah berbeza dengan kerajaan Persekutuan bagi Parlimen kelima Belas.
“RUU Belanjawan 2023 yang dibentangkan dalam sidang Parlimen Keempat Belas (sekarang) tidak boleh disambung secara automatik oleh kerajaan baharu dalam Parlimen kelima Belas selepas PRU-15 walau parti politik yang sama menjadi kerajaan,” ujar beliau.
Leave a Reply