PAS tetap konsisten untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sehingga tempoh penggal pemerintahan berakhir, kata Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Menurutnya, Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diterajui Pas tidak akan dibubarkan walaupun berlakunya pembubaran Parlimen dalam masa terdekat untuk PRU15.
Beliau menjelaskan, ia bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat.
“Setakat ini, tiada ada perubahan (tidak akan bubarkan) kerana apa yang penting bagi kita ialah kita tidak menyusahkan rakyat, …bukan kepentingan parti-parti politik semata-mata, parti politik ini sudah jadi medium untuk memberikan khidmat kepada rakyat.
“Apa yang penting ialah kita tengok rakyat selesa atau tidak. Kalau rakyat berada dalam keadaan kurang selesa akibat banjir, kenapa kita mahu paksa sesuatu yang rakyat rasa tidak selesa.
“Kita biarkan suasana ekonomi berkembang dan sebagainya, …itu pandangan peribadi saya,” katanya dalam laporan Berita Harian, hari ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada majlis pelancaran Jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa minggu lalu menyatakan Barisan Nasional (BN) sanggup meredah banjir dan hujan lebat jika PRU15 diadakan tahun ini.
Leave a Reply