PM perlu dengar teguran Muhyiddin, perbetulkan keadaan

PERDANA Menteri perlu profesional dan tidak prejudis dengan teguran Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya kerajaan serius menyelamatkan negara daripada terus kerugian berbilion ringgit setiap bulan.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, Datuk Seri Ismail Sabri perlu memperbetulkan keadaan dan mengambil serius cadangan-cadangan Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) sebelum ini.

Berikut adalah kenyataan penuh Mohd Solihan yang juga Ketua Peenerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor;

Tindakan Perdana Menteri menuding Bersatu ‘menyumbang’ kepada prestasi kerajaan yang hambar adalah tidak wajar kerana pemimpin parti itu dalam Kabinet mahupun Majlis Pemulihan Negara (MPN) sudah melunaskan tanggungjwab yang diberikan.

PN Johor ingin menegaskan, MPN yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menasihati Datuk Seri Ismail Sabri supaya melaksanakan ‘program luar biasa’ untuk memperkasa semula ekonomi negara yang rentan akibat Covid-19.

Namun, Perdana Menteri dilihat tidak serius dengan pemerhatian Tan Sri Muhyiddin mahupun laporan MPN apabila tiada tindakan komprehensif dilaksanakan Datuk Seri Ismail Sabri kerana lebih banyak melayan gangguan dan ugutan pemimpin UMNO sendiri.

Akibat memberi tumpuan kepada politiking menyebabkan Perdana Menteri hilang fokus untuk menguruskan kerajaan, rakyat dan ekonomi.

Ini termasuk mengabaikan cadangan MPN yang diangkat kepada mesyuarat Kabinet yang mempunyai asas kukuh serta boleh dilaksanakan oleh kerajaan.

Janganlah cadangan baik daripada Tan Sri Muhyiddin dipandang enteng hanya kerana beliau adalah Pengerusi PN.

Perdana Menteri perlu bersikap profesional dalam mengurus kerajaan kerana jika idea baik tetapi dihalang, yang menerima kesannya adalah rakyat.

PN Johor tidak nampak sesuatu yang baharu sejak Datuk Seri Ismail Sabri mengambil alih teraju Kerajaan Pusat kecuali meneruskan perancangan Tan Sri Muhyiddin.

Ketika negara serantau giat meneruskan projek yang terhenti akibat Covid-19 selain melaksanakan pembangunan baharu yang akan memacu pertumbuhan, negara kita malangnya menjadi perhatian antarabangsa kerana konflik politik yang tak sudah dan kerakusan pemimpin dengan rasuah.

Justeru, Perdana Menteri perlu pantas membetulkan keadaan ini dan tidak prejudis dengan teguran Tan Sri Muhyiddin supaya kerajaan serius menyelamatkan negara daripada terus kerugian berbilion ringgit setiap bulan.

Antaranya, kepincangan pengurusan ekonomi dan kekurangan tenaga kerja termasuk dalam industri teras seperti kelapa sawit selain kemerosotan nilai ringgit susulan pelbagai faktor yang semakin tidak terkawal.

Datuk Seri Ismail Sabri juga perlu berani menangani ugutan politik daripadarakan-rakannya dalam UMNO sendiri selain bijak mengimbangi di antara politiking dan keutamaan mengurus kepentingan rakyat.

Mohd. Solihan Badri
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional Johor


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *