KES juling dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di Kelantan dilihat meningkat secara mendadak selepas pandemik COVID-19 dipercayai disumbang oleh penggunaan gajet untuk tujuan sosial secara berterusan.
Situasi itu mengakibatkan bola mata pesakit tidak selari dan menjadi juling.
Ketua Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Shatriah Ismail berkata, sejak 2018 hingga kini, Hospital USM menerima 30 pesakit di negeri ini untuk pembedahan membetulkan semula bola mata.
Menurutnya, pesakit terdiri daripada mereka berusia 10 hingga 15 tahun dengan 10 daripada mereka sudah menjalani pembedahan.
“Pesakit yang dirujuk, kebanyakannya datang dalam keadaan satu bola mata memandang lurus dan satu lagi masuk ke dalam atau juling.
“Walaupun kita mencuba rawatan secara konservatif, kedudukan bola mata tidak balik ke kedudukan asal, seterusnya pesakit terpaksa menjalani pembedahan,” katanya dalam laporan Berita Harian.
Mengikut laporan itu lagi, Dr Shatriah berkata, peningkatan mendadak pesakit yang mengalami kes sedemikian agak membimbangkan, terutama apabila ia bukan sahaja membabitkan kanak-kanak dan remaja, malah bayi.
Beliau menjelaskan, pembelajaran dalam talian tanpa ada waktu senggang juga boleh mempengaruhi kerana ada dalam kalangan murid menggunakan telefon bimbit dengan skrin kecil.
“Situasi ini agak membimbangkan dan sebab itu perlu ditekankan kepada pelajar, ibu bapa dan guru supaya kawal penggunaan gajet walau dalam kalangan kanak-kanak kecil yang belum bersekolah.
“Penggunaan gajet untuk tujuan sosial perlu dihadkan. Jangan guna gajet secara berterusan, sebaliknya perlu ada waktu senggang,” katanya.
Leave a Reply