SEORANG guru di Jepun tergamak meletakkan cecair peluntur dalam makanan tengah hari muridnya setelah kecewa ditukarkan kelas.
Memetik laporan Kyodo News, jurucakap polis di Fujimi berkata, Ayana Hanzawa mengaku melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 11.30 pagi waktu tempatan di Sekolah Rendah Mizutani-Higashi Khamis lalu.
Menurutnya, tindakan suspek terbongkar apabila beberapa murid menyedari bau pelik yang datang daripada hidangan kari mereka sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada guru lain.
Bagaimanapun katanya, tiada murid yang menjamah kari tersebut dan ia telah dihantar ke makmal untuk analisis.
“Keputusan makmal kemudiannya mendapati hidangan itu mengandungi peluntur klorin,” kata polis.
Difahamkan, Hanzawa mengajar di sekolah itu sejak 2020 dan kecewa apabila diarah menjadi guru kelas lain pada April lalu biar pun sebelum ini dia berkeras mahu kekal dengan kelas lamanya.
Menurut pegawai sekolah yang enggan namanya disiarkan, kari yang dicemari cecair peluntur itu akan dihidangkan kepada murid di kelas baharu guru wanita berusia 24 tahun tersebut.
Sementara itu, siasatan polis mendapati Hanzawa membeli peluntur di farmasi berhampiran.
Suspek kemudiannya disiasat atas dakwaan berbuat khianat terhadap perniagaan.
Leave a Reply