PRU musim banjir: Amat kejam, tiada perikemanusiaan

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman kesal dengan dengan kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan parti tersebut sanggup meredah banjir jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam tahun ini.

“Ini menunjukkan betapa kemaruknya Ahmad Zahid dan Barisan Nasional (B)N terhadap kuasa sehingga tidak kisah dan peduli mengenai kesusahan rakyat sewaktu bencana banjir.

“Mana perikemanusiaan beliau (Ahmad Zahid) ketika mengeluarkan kata-kata ini? Bencana banjir bukan benda yang boleh dipandang ringan.

“Rakyat kehilangan harta benda dan orang tersayang akibat bencana banjir. Amat kejam apabila seorang presiden parti dan juga ahli Parlimen yang susah berpenggal-penggal menjadi wakil rakyat mengeluarkan kenyataan begini,” katanya.

Beliau yang mesra dipanggil Rara berkata demikian dalam kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook miliknya.

Menurutnya, masih ada lagi infrastruktur tidak dibaik pulih akibat bencana banjir yang melanda pada Disember tahun lalu.

Tambah Young Syefura, bahkan ada penduduk yang masih belum mampu hidup seperti dahulu lagi.

“Zahid Hamidi perlu malu dengan diri sendiri dan muhasabah. Jangan terlalu kemaruk sehingga sanggup memperjudikan keselamatan dan kebajikan rakyat ketika bencana.

“Sepatutnya beliau perlu mendesak menteri-menteri BN untuk membuat persiapan rapi menghadapi banjir agar rakyat tidak terkesan dengan lebih teruk seperti tahun lepas,” kata beliau.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *