SEORANG pemandu maut selepas tercampak keluar dari treler yang terbabas di Kilometer 257 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, berhampiran Terowong Menora, pukul 5.30 pagi tadi.
Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mangsa, Budi Abd Rahman, 52, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
“Pihak bomba menerima panggilan mengenai kemalangan ini pada 5.40 pagi yang melibatkan sebuah lori treler jenis Volvo dengan muatan sampah telah terbabas ke bahu jalan.
“Kemalangan menyebabkan pemandu lori tercampak keluar dari lori dan tersepit di antara pembahagi jalan,” katanya dalam kenyataanm lapor Astro Awani.
Katanya, anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Shauki Che Darus tamat pukul 7.38 pagi.
Sementara itu, menurut Twitter plustrafik, kemalangan itu menyebabkan semua lorong terhalang dan pemandu diminta menggunakan laluan alternatif.
Bagaimanapun, berdasarkan maklumat yang sama, pukul 8.48 pagi, lorong kanan telah dibuka dan laluan kontra masih dibuka.
Trafik arah utara perlahan sepanjang 3.5 kilometer manakala trafik arah selatan masih terkawal.
Leave a Reply