SEORANG Lelaki Indonesia dipercayai maut disambar buaya ketika sedang memancing di Sungai Semba di kawasan Taman Perindustrian Samalaju di Jalan Pesisir Pantai Bintulu-Miri, Sarawak malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju Hashim Norshidi dalam kenyataannya hari ini berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung insiden berkenaan pada 10.20 malam.
“Sejurus sampai di lokasi, pasukan bomba bertindak menjalankan pemantauan serta pencarian awal secara permukaan di lokasi terakhir mangsa dilihat selama satu jam, namun gagal menemui mangsa,” ujarnya, lapor Harian Metro.
Selepas itu katanya, operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan disebabkan sudah lewat malam dan disambung pada pagi ini.
Menurut beliau, maklumat awal yang diterima dari pengadu mengatakan mangsa dikenali sebagai Hermanto, 40.
Semasa kejadian, rakan mangsa yang juga pengadu berusia 27 tahun turut berada di lokasi sama dan ternampak mangsa disambar buaya dan diseret ke dalam air.
Difahamkan, semasa kejadian, mangsa memakai baju lengan panjang berwarna kelabu dan seluar jeans.
Leave a Reply