Ibu yakin anak masih hidup, diculik lima tahun lalu

SEORANG ibu masih berharap kepulangan anaknya selepas dipercayai diculik dan dibawa lari ke Thailand lima tahun lalu.

Wan Shahrizal Wan Zulkifli, 55, bagaimanapun percaya anaknya, Mohd. Aiman Zafri, 29, masih hidup.

Memetik Astro Awani, Wan Shahrizal berkata, pelbagai usaha dilakukan untuk mencari anak ketiga daripada empat beradik itu termasuk memohon bantuan golongan agama dan pelajar tahfiz melakukan solat hajat dan istikharah.

“Ketika saya berkunjung ke Pattani, ada individu mendakwa pernah melihat kelibat Mohd. Aiman tetapi kunjungan kami sehingga ke Pattani gagal menemuinya,” katanya.

Kisah penculikan Mohd Aiman oleh individu yang dipercayai anggota kumpulan sindiket pernah mendapat liputan media pada 2018.

Mohd. Aiman dilaporkan dibawa lari oleh kumpulan penjenayah kira-kira pukul 11.30 malam di Jalan Taman Maju di Kota Bharu pada 5 Julai 2017 ketika bersama isterinya pulang dari bekerja.

Berkongsi kisah itu, Wan Shahrizal memberitahu, seminggu selepas itu, kumpulan terbabit meminta wang tebusan berjumlah RM50,000 namun keluarganya hanya dapat membayar RM22,000.

Katanya, mereka meletakkan duit berkenaan di satu perhentian bas di Batu Karang, Rantau Panjang sekitar pukul 5 petang pada 14 Julai 2017 sebagai bayaran pertama.

“Selang beberapa hari penjenayah meminta wang lagi berjumlah RM5,000 namun saya hanya mampu menyediakan RM2,000 dengan memasukkan wang berkenaan melalui akaun bank milik isteri salah seorang rakan Mohd. Aiman.

“Kesemua panggilan meminta wang tebusan itu menggunakan nombor telefon Thailand. Selepas membayar wang yang diminta, sehingga kini mereka tidak menghantar anak saya seperti yang dijanjikan,” jelasnya lagi.

Kata wanita itu lagi, sepanjang kehilangan anaknya, tujuh laporan polis sudah dibuat.

“Saya tidak menolak kemungkinan Aiman dan rakannya dikenali sebagai ‘Pok Wae’ ada kaitan dan mempunyai hutang dengan kumpulan tertentu, tetapi Aiman tidak pernah menceritakan masalah itu sehingga dia dibawa lari,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu pada waktu itu, Superintendan Noor Halim Nordin berkata, suspek yang dikenali sebagai Ahmad Syazwan Ayub, dikehendaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Katanya, siasatan lanjut menunjukkan suspek utama berkenaan bersama-sama empat lagi lelaki membawa mangsa ke pekan Sungai Golok selepas kejadian itu.

Ceritanya lagi, polis juga telah menahan empat lelaki dan seorang wanita berusia 21 hingga 26 tahun yang merupakan kenalan kepada mangsa pada waktu kejadian itu.

“Walaupun bantuan Interpol dan pihak berkuasa Thailand membantu mengesan Aiman dan rakannya Pok Wae, sehingga kini kedua-dua individu berkenaan masih gagal dikesan,” jelasnya.

Wan Shahrizal memberitahu, anak tunggal Mohd Aiman, Muhamad Rayan Rizki ketika kejadian baru berusia dua tahun lebih dan kini tinggal bersama ibunya, Nur Azra Syazwani Abdullah.

“Muhamad Rayan kini sudah berusia tujuh tahun dan selalu bertanya serta memberitahu rindu untuk bertemu bapanya,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *