Oh Tong Keong

Gerakan Pulau Pinang harap dapat guna logo sendiri pada PRU-15

PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang meminta jawatankuasa pusat parti itu berbincang dengan Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) supaya dapat menggunakan bendera sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Perhubungan Parti Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, keputusan itu memandangkan ramai penduduk negeri tersebut berpendapat Gerakan masih lagi dalam Barisan Nasional (BN).

“Malah, bendera PN dan BN juga agak sama sekali gus boleh menjadi punca penolakan rakyat kepada parti itu pada PRU-15 nanti,” katanya dalam kenyataan selepas Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Gerakan Pulau Pinang semalam.

Dalam pada itu, Tong Keong yang juga Timbalan Presiden Gerakan Pusat berkata, terdapat 21 resolusi yang dicadangkan oleh para perwakilan negeri Pulau Pinang dalan persidangan itu untuk diberi tumpuan menjelang PRU-15.

Malah katanya, cadangan 21 resolusi itu juga mencatat rekod yang terbanyak dalam sejarah dalam Parti Gerakan Pulau Pinang sekali gus menunjukkan terdapat banyak isu yang perlu diambil serius dan ditangani atau diperbaiki kerajaan, khususnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Dalam masa sama, beliau menyeru penduduk Pulau Pinang memberi peluang kepada Parti Gerakan untuk mewakili mereka supaya dapat bersuara dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Parti Gerakan yang ditubuhkan di Pulau Pinang mempunyai rekod pentadbiran yang cemerlang selama 39 tahun mentadbir negeri Pulau Pinang.

“Pembangunan Pulau Pinang yang pesat selama 39 tahun ini adalah berjiwa rakyat dan dinikmati semua rakyat jelata,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *