Siti Mariah tersinggung, saran pemimpin Amanah 60 tahun ke atas berundur

PEMIMPIN atau wakil rakyat Amanah yang berusia 60 tahun ke atas disaran berundur secara terhormat untuk memberi laluan kepada individu berkelayakan dalam parti itu.

Memetik laporan Free Malaysia Today, Naib Presidennya, Dr Siti Mariah Mahmud dengan nada tersinggung mengemukakan saranan itu sebagai menjawab kenyataan Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan mengenai agihan kerusi untuk sayap itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Menurut bekas ketua Wanita Amanah itu, parti berkenaan sebenarnya masih memerlukan pemimpin berusia 60 tahun ke atas disebabkan kebijaksanaan dan pengalaman mereka.

“Saya dah 65 tahun…YB (Dr Dzulkefly Ahmad) pun dah 66 tahun, ramai lagi yang 60 tahun ke atas, tapi kita sebenarnya perlu pemimpin yang pada usia ini (60 tahun ke atas) kerana kebijaksanaan dan berpengalaman.

“Pemimpin dipilih perlu menjaga kawasan, bukan saja ahli parti, malah rakyat di kawasan. Bagi pemimpin yang tidak boleh memberi perkhidmatan terbaik, berilah peluang kepada mereka yang layak.

“Kepada kawan-kawan saya yang seangkatan dan sudah sampai ke satu umur, faham-faham saja kalau rakyat atau ahli tidak mahu kita lagi,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Konvensyen Amanah 2022.

Terdahulu kata laporan itu, Siti Mariah mengakui terkilan dengan kenyataan sayap Pemuda yang memberi persepsi orang muda tidak diberikan platform untuk membantu parti.

“Platform ini jangan hanya pandang pada jawatan, tapi apa yang disumbangkan kepada parti. Perkara ini seharusnya dilakukan dengan konsisten dan bukannya bermusim.

“Saya sendiri melihat mereka melakukan kerja-kerja parti masih belum mencapai tahap memuaskan, terutama mencari penyelesaian terhadap isu-isu tertentu,” katanya.

Semalam, Pemuda Amanah mengakui “cemburu” dengan kehadiran Muda pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, termasuk keputusan parti itu bertanding pada PRU15.

Hazmi dalam ucapannya berkata, Pemuda mengakui berasa terpinggir dengan pembahagian kerusi dalam Amanah dan sayap itu tidak akan pernah lelah menuntut hak sama diberikan kepada mereka.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *