Rafizi bidas Ismail Sabri bayang adakan PRU masa terdekat

TINDAKAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi bayangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan diadakan dalam masa terdekat dibidas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

Menurut Rafizi, keputusan mengadakan PRU-15 dalam keadaan negara akan berdepan banjir yang dijangka berlaku bila-bila masa adalah tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, sebagai ahli politik, mereka mempunyai tugas iaitu berkhidmat kepada rakyat lebih-lebih lagi ketika negara akan berdepan dengan monsun.

“Kita tahu betapa dahsyat musibah menimpa rakyat ketika berdepan banjir. Jadi, ia adalah langkah tak bertanggungjawab untuk fokus pada PRU15 ketika mengetahui akan berdepan banjir.

“Sejak banjir buruk pada tahun lalu, tidak ada pembinaan struktur baharu bagi mendepani banjir, paling hebat dibuat hanya tambah bilangan bot.

“Bagaimanapun, Pakatan Harapan (PH) berpendirian sekiranya hendak panggil PRU15, silakan, kami sudah bersedia. Ia tidak akan mengubah keadaan, kerana rakyat sudah membuat keputusan,” katanya.

Ismail Sabri semalam semasa berucap pada pelancaran jentera Pemuda Barisan Nasional 2022, membayangkan PRU-15 akan diadakan sedikit masa lagi dan perkara itu akan dibincangkan dengan ‘top 5’ UMNO.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi susulan itu berkata, parti terbabit sanggup meredah banjir dan hujan lebat, jika PRU15 diadakan tahun ini.

Mengulas lanjut Rafizi berkata, pemimpin atau ahli politik sepatutnya memberi tumpuan menghadapi banjir serta membantu rakyat dan bukannya fokus 100 peratus untuk memenangi PRU-15.

Katanya, jika PRU-15 diadakan ketika musim banjir, jentera parti tidak boleh 100 peratus tertumpu kepada kempen semata-mata.

Jelas beliau, ini kerana mereka juga perlu turun membantu rakyat di negeri yang terkesan banjir seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *