PRU-15: PH elak pertembungan kerusi dengan Muda

PAKATAN Harapan (PH) akan mengelak pertembungan antara gabungan itu dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sebagaimana berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, pertindihan kerusi akan dielakkan menerusi rundingan kedua-dua pihak dalam usaha mencapai persetujuan dan kesepakatan bersama.

Memberi jaminan itu beliau berkata, PH nuat masa ini sedang mengadakan rundingan dalam kalangan parti komponen berkenaan
terlebih dahulu yang akan selesai menjelang 30 September ini.

“Rundingan sedang berlaku dan saya yang ketuai rundingan bagi pihak PKR. Soal Muda (mahu kerjasama politik dengan PH) akan melalui proses dalam PH. Maknanya perkara itu perlu dibawa kepada Majlis Presiden PH untuk dibincang dan sebagainya.

“Kemasukan atau permohonan Muda itu, tidak kira apa keputusan, akhirnya Majlis Presiden PH (akan buat keputusan) setelah melalui proses, itu tidak akan mengganggu rundingan kerusi yang akan terus berlaku,” katanya.

Beliau menyatakannya semasa sidang media Jelajah Trak Ayuh Malaysia Zon Selatan di pekarangan Pusat Khidmat Parlimen Johor
Bahru, Larkin malam tadi.

Pada PRN Johor Mac lalu, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin menyaksikan pertembungan antara PKR dengan Muda, namun kedua-dua calon parti itu tewas kepada calon Barisan Nasional (BN).

Rafizi yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor berkata, ketika ini PH sudah mempunyai calon daripada parti-parti komponennya melibatkan PKR, Parti Amanah Negara (Amanah), DAP
dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

“Kita telah ada semua senarai kerusi (yang akan ditandingi PH) di seluruh malayisa, soal bagaimana Muda ingin berkejasama, itu akhirnya di peringkat yang seterusnya, atas sebab itu saya tidak nampak ada pertindihan kerusi kali ini,” katanya.

Pada soalan bila keputusan kerjasama Muda dengan PH akan dimaklumkan, Rafizi memberitahu, perkara itu masih belum dibincangkan lagi dan tumpuan ketika ini menyelesaikan pembahagian kerusi antara komponen PH.

Menurutnya, mana-mana pihak boleh memberikan pandangan mengenai perkara tersebut tetapi akhirnya nanti Majlis Presiden PH yang akan
membuat keputusan dan semua pihak perlu akur.

“Ini perlu melalui proses dan saya yakin ada prosesnya. Ye la macam juga orang nak berkahwin, dia mesti merisik lepas tu meminang, tengok hantaran, jadi banyak perkara, ia akan ambil proses.

“Soal rundingan kerusi PRU15, ini semua tidak terkait dengan soal hasrat Muda untuk sertai PH. PH adalah gabungan politik yang kuat dan akan meneruskan momentum sedia ada, berkenaan Muda, ia akan diberitahu apabila sampai masanya,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *