Empat sekeluarga terbunuh nahas babit lima kenderaan dekat PLUS

EMPAT sekeluarga maut, seorang cedera manakala dua yang lain selamat dalam kemalangan melibatkan lima buah kenderaan di Kilometer 70.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Kluang hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu melibatkan kereta Perodua Myvi, Toyota Corolla, Toyota Hiace, treler jenis Volvo dan motosikal Honda RSX150.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian pada kira-kira pukul 7 pagi itu melibatkan kesemua jenis kenderaan, yang dipercayai dari arah yang sama iaitu dari arah Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru.

Beliau berkata mereka yang maut terdiri daripada pemandu kereta Toyota Altis, Goh Tiong Seng berusia 50-an; penumpang hadapan, Hong May Yin (50an) dan dua anak mereka Goh Pei Chiew serta Goh Xuan Ting, keduanya berusia 20-an.

“Kereta Perodua Myvi dipercayai terlanggar lopak air dan hilang kawalan lalu berpusing dan terbabas ke tengah jalan sebelum melanggar besi pembahagi jalan di tengah jalan. Ketika itu, sebuah van dari arah belakang cuba mengelak kereta Myvi, lalu terbabas dan berpusing sehingga melanggar besi pembahagi jalan dan terus ke bahu kiri jalan. 

“Sebuah lori trailer dari arah belakang di lorong kiri bertindak memperlahankan lorinya untuk mengelak melanggar van yang berada di bahu lorong kiri itu, bagaimanapun, kereta Toyota Altis terlanggar belakang lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bahrin berkata Goh serta dua anaknya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Hong meninggal dunia di Hospital Kluang ketika mendapatkan rawatan,

Bagaimanapun pemandu perodua Myvi dan pemandu lori trailer tidak mengalami kecederaan manakala pemandu van Hiace yang cedera di bawa ke Hospital Kluang untuk rawatan lanjut.

“Kesemua mayat mangsa dihantar ke Hospital  Kluang untuk bedah siasat,” kata beliau, dan menambah Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penguasa Bomba Kanan II Rahim Razali, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 6.35 pagi.

Katanya, bomba dengan kekuatan seramai tujuh anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke lokasi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *