Oleh BADLISHAH MAT
DUA remaja lelaki termasuk seorang pelajar sekolah maut selepas motosikal mereka bergesel sesama sendiri dipercayai ketika berlumba di Kilometer 102.2 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) berhampiran Sungai Petani, pagi ini.
Kedua-dua mangsa berusia 15 dan 22 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Lima lagi penunggang motosikal yang terbabit dalam lumba haram pada pukul 3.06 pagi itu dilaporkan turut cedera dan kini sedang diberikan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mangsa berumur 15 tahun itu adalah pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di Jeneri, Sik
“Mangsa kedua yang meninggal dunia pula bekerja kampung dan tinggal di Kampung Pondok Hampar, Merbok di sini.
“Ketujuh-tujuh mereka yang berumur antara 15 hingga 22 tahun dipercayai menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dan Honda Ex5 secara beriringan dalam kelajuan tinggi dari arah utara ke selatan di lebuh raya itu.
“Ketika menghampiri lokasi kejadian beberapa penunggang dikatakan hilang kawalan dan berlanggar sesama sendiri. Impak pelanggaran menyebabkan dua daripada mereka maut di lokasi akibat parah di bahagian kepala,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Zaidy, kesemua motosikal terbabit turut mengalami kerosakan teruk dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk siasatan lanjut.
“Semakan mendapati pelajar itu dan dua lagi rakannya yang cedera tidak mempunyai lesen memandu yang sah,” katanya.
Mayat dibawa ke HSAH untuk proses saringan Covid-19 dan bedah siasat akan dilakukan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Leave a Reply