PRU-15:Warisan tanding kerusi Parlimen mampu menang sahaja

Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal memaklumkan, parti itu tidak akan bertanding di semua 222 kerusi Parlimen seluruh negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurut bekas Ketua Menteri Sabah itu, ini kerana pihaknya menyedari kekuatan parti tersebut dan merancang fokus kepada beberapa kerusi yang dilihat mampu dimenanginya.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan kerusi mana bakal ditandingi Warisan, sebaliknya menjelaskan perkara itu akan diumum apabila tiba masanya.

“Seperti disebutkan sebelum ini, kita takkan bertanding semua 222 kerusi Parlimen kerana kita sedar kekuatan dan keupayaan parti ini dan semua itu perlu diukur.

“Kita perlu tertib dan teliti secara mendalam, daripada bertanding banyak kerusi tetapi tidak menang, lebih baik kami fokus bertanding di dua atau tiga kerusi saja yang boleh memberi kemenangan,” katanya pada sidang media di Alor Setar hari ini.

Terdahulu beliau melancarkan Parti Warisan Negeri Kedah yang turut dihadiri Pengerusi Warisan Kedah, Datuk Fadzil Hanafi dan Timbalannya, Dr. Mohamed Ibnu Hassan Thalha.

Mengulas lanjut, Mohd. Shafie berkata, pihaknya kini dalam proses mengukuhkan kedudukan parti itu dan belum merancang membentuk kerjasama politik baharu bersama gabungan tertentu.

Katanya, ia penting bagi membuktikan bahawa parti itu mempunyai kekuatan sendiri, tanpa perlu berharap kepada parti lain untuk bertapak terutamanya di peringkat nasional.

“Ramai berhubung (untuk bekerjasama), itu perkara biasa, tetapi buat masa ini kita mahu kukuhkan rumah sendiri yang tangganya kena culik, tingkap kena beli, kena dibaiki dahulu dan dimantapkan.

“Tidak ada erti kita bergabung dalam keadaan parti masih belum mantap, kita tidak mahu menumpang kepada parti lain seakan kita mengemis hingga akhirnya timbul masalah di kemudian hari,” katanya sebagaimana dilaporkan Berita Harian.

Menyentuh penerimaan rakyat semenanjung terhadap Warisan yang berasal dari Sabah, beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, sambutan diterima setakat ini adalah menggalakkan terutama dalam kalangan profesional.

“Ketika pelancaran Warisan di Pulau Pinang semalam, ada dua pegawai kanan bank dan dua doktor pakar menyertai kita. Di Perlis pula, kita ada bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) menyertai parti ini.

“Mereka ini individu yang berkeupayaan. Jadi, mereka tidak akan masuk Warisan jika parti ini tidak dilihat sebagai landasan alternatif kepada pembangunan negara,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *