PARTI Keadilan Rakyat (PKR) Selangor masih belum memutuskan senarai calon mereka bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya kini lebih menumpukan soal pentadbiran negeri berbanding PRU15 yang belum diketahui bila akan diadakan.
“Apa yang penting sekarang adalah pentadbiran negeri yang ditumpukan sebanyak 70 peratus bagi mengatasi dua masalah penting iaitu banjir dan ekonomi.
“PRU15 menjadi keutamaan namun tumpuan tersebut kita letakkan 30 peratus sahaja.
“Biar mereka sibuk hal (PRU-15), tapi kita ada tanggungjawab untuk selesaikan masalah negeri,” katanya mengulas persediaan PRU-15 di Selangor, lapor Sinar Harian.
Beliau ditemui pada program Sambutan Hari Sungai Sedunia peringkat negeri Selangor di Taman Eko Ara Damansara hari ini.
Pada 7 September lalu, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil memberitahu PH masih dalam proses rundingan agihan kerusi dan dijangka selesai dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi.
Senarai calon PRU15 mewakili parti masing-masing dijangka diumumkan selepas itu.
Leave a Reply