Lelaki terperangkap, rentung dalam kemalangan

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG lelaki terperangkap sebelum rentung selepas kenderaan Range Rover dipandunya terbabas lalu terbakar di Batu 7, Jalan Besar, Tongkang Pechah, Batu Pahat, malam tadi.

Kejadian tersebut membuatkan pemandu itu yang merupakan seorang lelaki dewasa berusia 42 tahun tersepit di bahagian pemandu dan terbakar.

Sementara dua penumpang iaitu lelaki dewasa berusia 25 dan 28 tahun cedera dan berjaya dikeluarkan orang awam sebelum bomba tiba.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram, Penolong Penguasa Bomba Ayub Majid berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 10.54 malam.

Susulan itu katanya, seramai 16 anggota dengan sebuah dua jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) serta satu Unit Bantuan PerkhidmatanKecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kemalangan tersebut melibatkan sebuah Range Rover dengan nombor pendaftaran tidak dapat dikenal pasti. Kebakaran telah memusnahkan 90 peratus daripada keseluruhan kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ayub, operasi menyelamat mangsa tersebut tamat pada pukul 12.30 tengah malam.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *