Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
KEPAKARAN Tun Dr. Mahathir Mohammad sebagai negarawan masih diperlukan untuk memimpin pentadbiran kerajaan buat kali ketiga sebagai Perdana Menteri dan mungkin kali ini yang terakhir.
Timbalan Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (Tanah Air), Mahdzir Ibrahim berkata, walaupun usia dan kudrat negarawan itu tidak sama seperti 10 atau 20 tahun lalu, kebijaksanaan dan pengaruh beliau mengurus pelbagai krisis yang rumit serta terdesak masih diperlukan.
“Malah beliau sendiri telah menganggap penglibatan beliau pada kali sebagi suatu jihad dan ibadah dalam hidupnya demi memulihkan negara dari kepimpinan yang rosak dan merosakkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, bekas Perdana Menteri berusia 97 tahun itu mendakwa masih ramai pihak yang mahu beliau menerajui negara sekali lagi selepas ditanya adakah beliau bersedia menjadi Perdana Menteri kali ketiga.
Untuk rekod, beliau menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali dengan dua gabungan politik berbeza dan di dua kerusi Parlimen berlainan.
Kali pertama bersama Barisan Nasional (BN) semasa beliau menjadi Ahli Parlimen Kubang Pasu, Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri mulai 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003.
Kali kedua pula dengan Pakatan Harapan (PH) mulai 10 Mei 2018 hingga 1 Mac 2020 ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Langkawi.
Mahdzir yang juga Penyelaras Parlimen Parit Sulong berkata, perkara itu akan menjadi realiti sekiranya rakyat memberikan mandat kepada GTA pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) untuk menjadi kerajaan.
Katanya, sekiranya dipilih menjadi kerajaan, GTA akan dianggotai pemimpin politik dan tokoh professional yang akan dapat memberi dukungan serta bantuan yang kuat kepada Dr Mahathir untuk mengemudi negara.
“Kepada rakyat, ini peluang yang julung kali muncul, kita sebagai pengundi diberi peluang untuk memilih wakil rakyat dari kalangan Melayu Islam yang profesional, amanah, bersih dan cekap untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan yang lemah dan kotor ini,” ujar beliau.
Justeru kata Mahdzir, menerusi gabungan pimpinan yang inklusif dan berkualiti itu pasti akan mempermudahkan lagi peranan Dr Mahathir untuk mentadbir kerajaan dan GTA juga akan menyediakan pelapis pimpinan yang mampu menggalas tugas besar dan sukar itu.
Menurutnya, GTA adalah sebuah gerakan politik massa yang inklusif diseimbangkan dengan peranan golongan professional daripada kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bekas pegawai kakitangan awam, tokoh masyarakat dan cendekiawan.
Jelas beliau, keseimbangan itu yang mengukuhkan konsep inklusiviti dalam GTA agar pendekatan politik dan professional dapat dimanfaatkan untuk memperbaiki dan memperkemas semula pentadbiran kerajaan.
“Dengan pendekatan ini juga ia akan dapat mempercepatkan proses membersihkan pentadbiran daripada elemen-elemen rasuah yang telah bersarang dalam kerajaan pada hari ini. Apabila proses pembersihan ini dapat dilakukan dengan segera, maka usaha-usaha untuk memulihkan ekonomi dan bantuan kepada rakyat, dapat dilaksanakan dengan pantas.
“Pentadbiran yang baharu bukan sahaja perlu menyelesaikan masalah ‘backlog’ dan segala masalah ketirisan yang lain, malah dengan gabungan pimpinan yang baharu dan bersih ini akan dapat memulihkan kembali tahap keyakinan masyarakat dan pelabur ke tahap yang lebih tinggi kerana kestabilan politik Malaysia,” katanya.
Leave a Reply