Gerakan Tanah Air (GTA) bukan parti politik biasa sebaliknya adalah gerakan rakyat yang biasanya tidak bersuara dalam politik, kata Pengerusi Penajanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Golongan tersebut (rakyat) adalah mereka yang tidak bersetuju dengan perkembangan politik dalam negara,” ujar bekas Perdana Menteri itu.
“Mereka mendapati tidak ada satu pun parti politik yang memenuhi kehendak negara. Mereka berpendapat menyokong parti-parti yang ada tidak menghasilkan kerajaan yang mampu menyumbang kepada kestabilan dan kejayaan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mendakwa, kecewa dengan keadaan politik dalam negara, ramai di antara mereka memilih untuk mengasingkan diri daripada politik malah ramai pula yang tidak akan mengundi.
“Malangnya kerana tidak mengundi, kemenangan akan diperolehi oleh parti yang mereka tolak,” katanya.
Jelasnya, dengan keadaan itu negara akan mengalami kedudukan yang lebih buruk dari sebelum pilihan raya umum (PRU).
“Untuk mengadakan badan yang lebih menepati kehendak puak kecewa ini, parti politik biasa tidak sesuai. Satu gerakan rakyat diperlukan bagi menyatukan mereka yang tidak berparti.
“Mereka perlu digabung dalam satu gerakan pencinta negara yang berpegang kepada keluhuran undang-undang dan kemajuan negara,” katanya.
Dr. Mahathir berkata, GTA mewakili golongan berkenaan selain pemimpin dan ahli gabungannya bersih daripada segala jenayah serta tiada berkepentingan peribadi.
“Dengan menggembleng rakyat yang cinta negara dan bertanding dalam PRU15, rakyat akan ada pilihan selain daripada parti politik biasa,” ujarnya.
Ahli Parlimen Langkawi itu mendedahkan, calon-calon GTA dalam PRU-15 nanti akan terdiri daripada ahli badan bukan kerajaan (NG0), tokoh akademik, profesional dan parti politik.
“Insya-Allah, dengan sokongan dari semua pencinta negara, GTA akan berjaya dalam PRU15 dan mendirikan kerajaan yang berpegang kepada keluhuran undang-undang, perlembagaan, kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Leave a Reply