Askar wataniah putus kepala kereta dipandu bertembung trak tentera

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG wanita putus kepala selepas kereta dipandu terlibat kemalangan dengan trak tentera dari kem Segamat dalam kejadian di Kometer 49.2 Jalan Muar-Segamat, Tangkak, pukul 4.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superitendan Mohd. Fadhil Minhat berkata, Nur Faezah Aminah Suib, 25, yang merupakan askar wataniah beralamat Durian Condong Bukit Kepong, Muar, maut di tempat kejadian.

“Kemalangan berlaku semasa kereta Protom Saga dipandu mangsa dari arah Tangkak menghala ke arah Segamat, semasa tiba di Jalan Muar-Segamat melalui jalan berselekoh dan telah hilang kawalan lalu masuk ke jalan bertentangan dan melanggar trak berkenaan.

“Mangsa putus kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat dibawa ke rumah mayat Hospital Tangkak untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pemandu trak berkenaan, Benny Jr Lind yang merupakan seorang tentera beralamat di Markas Tentera Darat Cawangan Sumber Manusia Kementah, Kuala Lumpur, tidak cedera.

Seorang askar wataniah maut selepas kereta dipandu terlibat kemalangan di Jalan Muar-Segamat, Tangkak

Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Pegawai Bomba Kanan II Zamri Ayob berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.42 petang.

Susulan itu katanya, seramai lapan anggota dari BBP Tangkak dengan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Terdapat seorang mangsa yang tersepit dalam Proton Saga. Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi. Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada pukul 4.53 petang,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *