PRU-15: PAS sekali lagi tegas tolak PH

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sekali lagi menegaskan parti itu tidak akan membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk menerusi pendekatan khemah besar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Katanya, ini kerana Pas tidak boleh memberikan kepercayaan kepada PH untuk mengubati penyakit salah laku dan rasuah yang membarah dalam Barisan Nasional (BN) sehingga menumbangkannya.

“PH tidak mampu menegakkan keadilan yang menyeluruh kepada rakyat, walaupun dalam gabungannya terdapat parti yang menjadikan keadilan dan amanah pada jenamanya.

“Pas sentiasa memerhatikan sejak awal segala pendekatan PH yang tidak beradab terhadap jentera kerajaan dan rakyat sangat tidak sopan, melebihi kelemahan yang berlaku kepada BN yang menjadi sebab kejatuhannya,” katanya menerusi catatan Minda Presiden Pas, hari ini.

Dalam pada itu dakwa Abdul Hadi, ini kerana ramai dikalangan pimpinan PH ‘tidak beriman dan tidak bermoral’.

Menurut ahli parlimen Marang itu, PH ketika menghadapi PRU-14 pada 2018 juga memperlihatkan parti gabungan pembangkang itu secara terbuka mengumpulkan ‘kumpulan pemberi rasuah dan penerima rasuah’.

Katanya, Pas menolak mudarat politik yang lebih besar dalam PH dan lebih parah akibatnya kepada negara yang boleh merobohkan asasnya, sehinggakan ia boleh mematahkan cabang-cabangnya yang penting.

“Ramai dalam kalangan PH yang tidak beriman (beraqidah) dan bermoral (berakhlak) secara terbuka, mengumpulkan kumpulan pemberi rasuah dan penerima rasuah.

“Paling ramai pihak yang melompat parti bukan alasan yang berprinsip, tetapi mengejar janji-janji manis dan janji bohong (seperti rasuah juga),” katanya sebagaimana dilaporkan SatuBerita.

Abdul Hadi juga mendakwa PH mengamalkan politik dendam melalui kenyataan terbuka yang mengganggu-gugat urusan pentadbiran negara dan menyusahkan badan kehakiman.

“Malah, dalam PH terkumpul kalangan mereka yang nyata bersikap anti-Islam, mengancam institusi raja-raja, rukun negara, dan asas-asas Perlembagaan Persekutuan khususnya kemuliaan Islam sebagai agama bagi persekutuan.

“Bahkan, terdapat juga kalangan yang fanatik bencikan Melayu dan bumiputera, tanpa peduli adanya hak terhadap agama lain dan berbagai-bagai kaum yang sudah mencukupi,” dakwa Abdul Hadi.

Tambah beliau, hubungan masyarakat majmuk menjadi rapuh apabila PH lebih banyak menyentuh perkara negatif berkenaan dasar dan konsep negara jika dibandingkan dengan BN.

Mengulas lanjut katanya, Islam yang menjadi akidah perjuangan Pas menetapkan bahawa politik tidak berpisah daripada agama yang ada perhitungan dosa dan pahala serta dibawa ke alam akhirat.

Justeru, wawasan Pas tidak tamat sekadar melepaskan harapan di alam dunia dan Pas tetap mempertahankan hak Melayu, bumiputera dan Islam termasuk bahasa yang menjadi teras kepimpinan negara ini tanpa menghapuskan bangsa dan bahasa lain.

“Pas menentang teori ‘Malaysian Malaysia’ dan menentang sikap fanatik perkauman kerana kedua-duanya bercanggah dengan Islam dan fitrah manusia.

“Pas menegaskan kalau ada sesiapa yang membuat kenyataan orang Melayu ini bersifat perkauman, halaukan dia kerana tidak mengenang budi.

“Bersama dalam PH, parti-parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menegaskan ideologi sekularnya secara terbuka, sehinggakan mereka menolak prinsip agama dalam politik,” tambah Abdul Hadi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *