KPDNHEP patahkan cubaan seludup diesel di stesen minyak

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan menahan seorang penyeludup selepas tindakannya membuat pembelian minyak secara kerap di beberapa buah stesen di Kota Bharu berjaya dikesan awal pagi ini.

Dalam serbuan di sebuah stesen minyak pada jam 2.50 pagi itu, penyeludup tersebut berjaya meloloskan diri sejurus menyedari kehadiran anggota penguat kuasa KPDNHEP Kelantan menerusi Op Bersepadu bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas sebuah kenderaan jenis Proton Gen2 membawa kepada penemuan 40 tong berisi minyak diesel.

“Pemeriksaan lanjut mendapati keseluruhan tong-tong tersebut mengandungi 1,200 liter diesel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, nilai rampasan bahan api itu dianggarkan berjumlah RM2,460.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Azman berkata, KPDNHEP Kelantan mengalu-alukan penyaluran maklumat berkait dengan aktiviti penyeludupan.

“KPDNHEP sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti penyeludupan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *