Henti buat andaian, keluarga tunggu kepulangan setiap saat- Adik wanita diculik

ADIK lelaki kepada kepada seorang wanita yang diculik oleh sekumpulan anggota sindiket pengedaran dadah di Kampung Semat Jal, Palekbang di Tumpat, kelmarin, mengharapkan kakaknya ditemukan selamat.

Lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamed berkata, keluarganya kini menanti sebarang perkembangan daripada pihak polis dengan harapan kakaknya itu tidak diapa-apakan.

“Kami menunggu apa punca yang terjadi dan apa yang dikatakan netizen itu nyawa kakak saya terancam.

“Kami tak dapat (maklumat) apa-apa, saya merayu rakyat Malaysia sama-sama kita doakan agar keselamatan kakak saya, agar selamat dan cepat dijumpai. Kami sentiasa berdoa dan tunggu panggilan polis. Berhenti buat andaian, kami tunggu setiap saat,” katanya memetik laporan Astro Awani hari ini.

Mohamed berkata, walaupun pelbagai tanggapan serta spekulasi tentang kejadian itu, dia sekeluarga hanya mengharapkan kakaknya pulang dalam keadaan selamat.

“Saya sempat berselisih dengan kereta yang dipandu individu berkenaan ketika hari kejadian,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita berusia 36 tahun dilarikan empat individu yang menaiki sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna perak.

Insiden berkenaan turut berjaya dirakam oleh kamera litar tertutup sebelum tular dalam media sosial.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *