TIMBAlAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih memegang pendirian sama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) secara sendirian.
“Ia merupakan keputusan yang dibuat oleh parti sebelum ini dan tiada perubahan setakat ini.
“UMNO bukan saya… UMNO adalah parti, jadi parti kena buat keputusanlah. Apa sahaja pandangan saya tak penting, pandangan parti penting,” tegas Timbalan Pengerusi BN itu.
“Jadi apa jua yang diputuskan perlu diputuskan oleh parti kerana bukan satu dua orang yang membuat keputusan dalam parti.
“Ia diputuskan dalam satu mesyuarah dan badan tertinggi adalah Majlis Tertinggi (MT), maka kalau ada agenda dalam mesyuarat MT bulanan, kita akan bincang.
“Buruk, baik, kelebihan-kelebihan ataupun apa jua jika kita nak menilai apa yang disebut oleh Setiausaha Agung Pas tersebut,” katanya
dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Merdeka @Komuniti daerah Seremban di Senawang, hari ini.
Mohamad mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan iaitu Pas kekal menganggap semua pihak yang bernaung di bawah gagasan penyatuan ummah termasuk UMNO sebagai rakan ta’awun (kerjasama) terutama dalam membina negara yang baik dan diredai Tuhan.
Takiyuddin menjelaskan, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersidang Ahad lalu.
Dalam pada itu, Mohamad turut menekankan kesiap-siagaan parti adalah perkara penting dalam menghadapi pilihan raya ini.
“Kita bersama (bekerjasama) ataupun tidak bekerjasama dengan sesiapa pun, jentera parti mesti dalam keadaan terbaik dan secara puratanya parti bersedia untuk menghadapi pilihan raya, bersemangat tinggi.
“Bagaimanapun ada beberapa aspek yang perlu kita tambah baik kerana seperti yang saya sebut sebelum ini kita memasuki pilihan raya ini umpama kita memasuki peperangan. Pengakhirannya kalah menang. Kalau perang hidup mati, kalau pilihan raya kalah menang jadi perlu bersedia betul-betul,” katanya.
Leave a Reply