PELAKON, Datuk Rosyam Nor tidak berniat untuk merendahkan martabat wanita, sebaliknya ingin memberikan kesedaran kepada wanita untuk bangkit dan bersemangat memajukan diri masing-masing.
Memetik laporan Harian Metro, Rosyam ketika dihubungi berkata, kata-katanya dalam video yang tular di media sosial sejak semalam itu perlu dilihat dari sudut positif.
“Program yang saya jalankan itu memberi semangat dan kesedaran kepada kaum wanita supaya bangkit dalam perniagaan.
“Jadi, tidak timbul isu saya bercakap kasar atau menjatuhkan kaum wanita,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam video tular yang dimuat naik ke akaun TikTok Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun itu, Rosyam dikatakan menggunakan bahasa yang kasar.
“Bangun lambat, bangun lambat semuanya lambat. Perempuan, ni, wanita ni semuanya lambat. Eh, bangkitlah, bangun daripada tidur!
“Esok di WTCKL, program aku dan Datuk Seri Rina, dengan kementerian dia dekat belakang (menunjukkan nama kementerian), korang baca sendiri lah.
“Esok, kalau sesiapa nak masuk, korang datang sahaja pada jam 9 pagi, korang jumpa aku, aku nak belasah kepala korang, baru kita bangkit,” kata Rosyam seperti dipetik dalam rakaman video itu.
Menurut Rosyam, ‘belasah’ yang dimaksudkannya adalah ‘mencuci otak’ (brainwash) dan memberi semangat kepada mereka untuk bangkit dalam perniagaan.
“‘Belasah’ itu maksud saya mencuci otak. Program ini adalah untuk memberi semangat supaya kaum wanita bangkit dalam perniagaan. Jadi, tak timbul isu saya bercakap besar atau menjatuhkan kaum wanita.
“Mereka yang menyertai program ini faham apa maksud saya dan tak ada masalah dengan perkataan itu,” katanya.
Tambahnya, ‘bangun lambat’ juga adalah sekadar kiasan untuk menggesa golongan usahawan wanita merebut peluang.
“Perkataan itu adalah metafora dan saya gunakan kepada golongan usahawan ini, bukan merujuk kepada wanita yang bangun lambat,” katanya.
Video TikTok itu kemudiannya tular dan dimuat naik ke beberapa platform media sosial lain sekaligus menerima kecaman hebat netizen termasuklah selebriti antaranya, Che Puan Sarimah Ibrahim mempersoal tindakan itu.
“Sekejap. Adalah ini untuk menggalakkan dan memberi motivasi? Direndahkan, dihina dan agresif? #whatisthis #rubbish,” tulisnya.
Leave a Reply