Oleh MOHD LAZIM ENDUT
MAMPUKAH parti Pas bersama Perikatan Nasional (PN) dapat mengekalkan pemerintahan di Terengganu dengan mengulangi pencapaian kemenangan dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini?
Dan apakah Barisan Nasional (BN) diterajui UMNO berjaya memenuhi impian mereka untuk kembali menerajui tampuk pemerintahan negeri ‘minyak’ ini sepertimana pernah dilakukan dalam beberapa siri PRU sebelum ini?
Begitulah antara persoalan dan tanda tanya yang hangat diperbualkan kebanyakan pihak sama ada pemerhati politik mahupun rakyat di negeri ini.
Rata-rata rakyat terutama mereka yang menjadi ahli serta penyokong setia parti politik mewakili kerajaan dan pembangkang kini masing-masing seperti tidak sabar untuk berhadapan dengan PRU15 yang disifatkan sesetengah pihak sebagai ibu segala PRU.
Malah, ada yang menjadikan alasan pelbagai kemelut dan juga situasi yang melanda negara menyebabkan politik juga dikatakan berada dalam keadaan kurang memuaskan.
Perkembangan ini secara tidak langsung dikaitkan sebagai antara faktor mengapa PRU-15 perlu diadakan lebih awal.
Antaranya termasuklah masalah dalaman serta saiz politik yang menerajui tampuk pemerintahan negara tidak memiliki majoriti besar, menyebabkan ia berada dalam keadaan tidak stabil.
Selain itu, faktor lain yang turut dikaitkan ialah perang saraf dalam kalangan parti politik tertentu disamping pelbagai desakan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Saberi Yaakob.
Berdasarkan perkara itulah parti mewakili majoriti terbesar di Terengganu, iaitu UMNO dan Pas dikatakan telah bertindak awal menyusun pelbagai strategi dalam usaha memenangi hati rakyat.
Antaranya termasuklah aktiviti yang mampu menarik perhatian anak-anak muda dan belia seperti himpunan motosikal RXZ dan sukan bola sepak.
Bagi kepimpinan Pas, mereka tetap menaruh keyakinan tinggi bahawa parti itu bersama gabungan baharu pada kali ini, iaitu PN akan terus berjaya mengekalkan pemerintahan di Terengganu walaupun terdapat beberapa masalah tertentu untuk dirungkaikan.
Bagaimanapun pendekatan turun padang untuk bersama rakyat yang dilakukan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas lain sedikit sebanyak dikatakan mampu merawat penyakit itu daripada menjadi barah.
Namun begitu, sesetengah pihak pula mendakwa tindakan beberapa wakil rakyat yang gagal membantu menyelesaikan masalah sumbangan tabung bagi pembinaan surau-surau sekolah sebelum ini disifatkan sebagai sesuatu yang amat malang.
Begitu juga dengan protes anak-anak muda di beberapa kawasan yang dikatakan tidak mahu keluar mengundi pada PRU15 nanti hanya gara-gara tidak berpuas hati dengan layanan wakil rakyat?
Sementara bagi kepimpinan UMNO pula, selepas melalui episod duka dan sukar melalui kemelut politik dalaman dan tewas dalam PRU-14 pada 9 Mei 2018, mereka akhirnya dikatakan mula ‘sedar diri’.
Untuk itu, mereka cuba mengambil kesempatan di atas setiap kecelaruan yang berlaku dalam kepimpinan UMNO negeri sebelum ini sebagai senjata utama untuk menggempur kubu lawan.
Selain itu, kesan tsunami politik yang membawa kepada kekalahan BN pada tahun 1999 dan 2018 turut dijadikan sebagai pembakar semangat untuk membolehkan parti itu bangkit memenangi kerusi DUN, sekaligus ‘menawan’ semula Terengganu.
Jentera UMNO BN juga kini dilihat semakin kerap turun padang untuk bersama rakyat bagi memastikan usaha mereka berhasil.
Apa yang pasti, setakat ini impian Pas untuk terus mengekalkan pemerintahan dilihat agak tinggi sehingga kepimpinan parti tersebut masih sanggup menunggu jawapan tidak pasti daripada kepimpinan UMNO Terengganu berhubung percaturan dalam Muafakat Nasional (MN).
Para pemerhati politik tempatan berpendapat, tindakan itu hanya membuang masa memandangkan UMNO diterajui Datuk Seri Ahmad Said dikatakan sejak awal-awal lagi telah menolak gabungan berkenan dan berulang kali mengatakan parti itu akan bertanding secara solo di semua kerusi di Terengganu pada PRU-15.
Apapun, soal parti mana yang bakal memerintah Terengganu selepas PRU-15 nanti, semuanya terletak di atas kebijaksanaan pemimpin, perpaduan dan kekuatan jentera parti yang bertanding di samping penerimaan pengundi.
Memandangkan penentuan kalah atau menang terletak di bahu rakyat yang keluar membuang undi, maka mana-mana pemimpin parti yang berjaya mendekati serta mempengaruhi rakyat, sudah pasti bakal meraih kemenangan.
Oleh itu, inilah masa terbaik bagi mana-mana parti politik untuk memperkemaskan jentera masing-masing sebagai persiapan menghadapi PRU15.
Pada PRU-14, Pas berjaya merampas Terengganu daripada BN setelah memenangi 18 kerusi DUN.
Leave a Reply