PENYANYI dan pelakon Aman Shah Abu Kassim meninggal dunia pada usia 68 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) sebentar tadi akibat masalah jantung.
Berita sedih berkenaan dikongsi rakan-rakan penggiat seni antaranya komposer Fauzi Marzuki dan pelakon Anne Abdullah dalam media sosial Facebook masing-masing.
Anne memberitahu, Allahyarham berada dalam keadaan kritikal pagi tadi sebelum menghembuskan nafas terakhir selepas Zohor hari ini.
Sementara itu, pelakon Lizawati Hamdan yang berada di IJN dan turut mengesahkan perkara terbabit.
“Saya baru melihat jenazahnya sebentar tadi. Allahyarham dimasukkan ke IJN sejak Rabu lalu dan punca kematiannya akibat masalah jantung,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Aman amat diingati peminat dengan lagunya Kepulangan Yang Dinanti yang sering dimainkan semasa ketibaan Hari Raya Aidilfitri.
Leave a Reply