MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun menuntut semua pihak tidak mempolitikkan isu wanita sebagai “suka bangun lambat”, yang tular baru-baru ini.
Beliau berkata, seharusnya semua pihak termasuk pemimpin politik melihat isi kandungan penuh program ‘Wanita Bangkit’ dianjurkan kementeriannya.
“Saya kira dalam waktu sekarang kita jangan nak politikkan semua benda.
“Kena lihat isi kandungan program tersebut. Apa penting ramai (wanita) memerlukan pembelaan dan perlu dibantu,” katanya dalam laporan Free Malaysia Today.
Kata laporan itu lagi, Rina juga mengajak Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh atau mana-mana bersama-sama membantu wanita yang memerlukan bantuan.
“Saya harap kalau Hannah Yeoh atau sesiapa sahaja nak bantu kita alu-alukan untuk sama-sama bantu wanita yang memerlukan. Bukan tahu cakap sahaja tetapi tidak melaksanakan,” katanya.
Terdahulu, Rina dikritik hebat pemimpin pembangkang dan Umno susulan video terbaru menteri terbabit yang dianggap merendah-rendahkan wanita.
Tular video dimuat naik Rina di media sosial, memaparkan pelakon dan usahawan, Rosyam Nor, yang menyebut wanita sebagai “suka bangun lambat”, sambil disaksikan beliau dan pegawainya.
Rosyam, yang mengajak orang ramai menghadiri Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM di Pusat Dagangan Dunia (WTC) bermula semalam, turut berkata akan “membelasah” mereka yang berjumpanya.
Semalam, Hannah yang juga bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, berkata beliau sedih melihat agensi dan kumpulan sasar di bawah kementerian itu dipergunakan Rina untuk tujuan promosi.
Hari ini, Azalina Othman Said secara sinis mencadangkan kepada Rina supaya membuang perkataan “wanita” pada nama kementerian berkenaan susulan video terbaru menteri terbabit yang dianggap merendah-rendahkan wanita.
Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, video sebegitu menjadikan segala usaha kementerian itu dalam isu menentang keganasan terhadap wanita adalah sia-sia.
Sementara itu, Rina berkata kenyataan Rosyam berhubung ‘wanita bangun lambat’ itu adalah cara pelakon itu sendiri.
Katanya, apa yang penting sasaran program itu melebihi jangkaan peserta yang hadir di WTC semalam.
“Yelah yang itu cara Rosyam Noor. Kita bagi tahu kena tengok program itu sendiri. Video itu dikeluarkan sehari sebelum program.
“Program sasar 1,000 yang hadir, tapi pada hari tersebut yang hadir 1,600 orang. Maksudnya sampai buka satu dewan lagi untuk tampung kehadiran luar jangkaan,” katanya.
Katanya, peserta hadir dalam program Wanita Bangkit itu menunjukkan mereka menyahut kata-kata orang luar terhadap mereka.
“Bila orang hina kita, bila orang cakap kita, tetapi kita buktikan dan jadikan bahawa kita boleh. Sebenarnya kita lebih hebat lagi. Sebenarnya kita adalah wanita cekal, tabah dan boleh melonjak dengan lebih jauh. Kena tengok dari sudut positif,” katanya.
Leave a Reply