Oleh BADLISHAH MAT
DUA lelaki yang juga mangsa pinjaman wang tidak berlesen daripada ah long diberkas polis selepas mereka dipercayai menjadi orang suruhan kepada sindiket itu untuk mengugut mangsa lain.
Suspek berusia 38 dan 41 tahun itu dipercayai turut melakukan khianat ke atas peminjam wang yang gagal membayar hutang mereka termasuk menyimbah cat atau merantai pagar.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kedua-duanya diberkas pada pukul 6.30 petang, Ahad lalu ketika berkeliaran di Taman Sri Tandop disyaki untuk melunaskan tugasan ah long berkenaan mengugut mangsa.
“Kedua-dua suspek mengaku melakukan kegiatan itu bermula pada Ogos sehingga kini di sekitar Alor Setar, Kubang Pasu dan Pendang. Kita menerima 20 laporan berkaitan kegiatan mereka.
“Suspek juga merupakan peminjam kepada ah long siber dan kerana gagal membuat bayaran semula, ia kaedah untuk membayar balik. Ah long siber menawarkan pekerjaan dengan upah ikut pakej seperti RM350 untuk baling cat, RM150 (merantai pagar) dan RM50 (menampal notis ugutan).
“Suspek terpaksa melakukan kerja itu untuk melangsaikan hutang mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, hari ini.
Tambahnya, polis turut menemukan pelbagai peralatan yang digunakan suspek untuk mengugut dan melakukan khianat ke atas mangsa termasuk cat dan rantai besi ketika ditahan.
Katanya, suspek hanya berurusan dengan sindiket utama ah long itu melalui aplikasi WhatsApp selain tidak pernah bersemuka ketika melakukan tugasan itu.
“Hasil ujian air kencing juga mendapati kedua-duanya positif Methamphetamine dan mereka direman empat hari bermula semalam,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 kerana menjalankan aktiviti pemberi pinjaman tanpa lesen, Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk kesalahan dadah.
Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan taktik Ah long Siber berkenaan yang aktif menawarkan pinjaman melalui media sosial termasuk Facebook.
“Ah long Siber adalah ah long yang menawarkan pinjaman di media sosial dengan niat melakukan pemerasan dan ugutan. Peminjam perlu mengisi maklumat pada pautan yang diberikan sebelum ia akan diluluskan seberapa segera.
“Sejumlah 50 peratus wang yang hendak dipinjam akan dipindahkan ke dalam akaun bank mangsa sama ada bersetuju atau tidak, peminjam dipaksa membuat bayaran lebih empat kali ganda dan jika gagal bayar semula akan menerima notis ugutan, merantai pagar dan membaling cat,” katanya.
Leave a Reply