MEMPERKASA golongan belia dengan program-program pembangunan dan menghidupkan industri sukan, merupakan antara fokus Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Belanjawan 2023.
Menterinya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kerajaan menerusi KBS sentiasa berusaha untuk memastikan masa depan rakyat khususnya belia terjamin.
“Belanjawan diputuskan di peringkat Kementerian Kewangan, namun usaha KBS ialah untuk menghidupkan industri sukan, apabila kita membudayakan sukan melalui Liga Sukan Malaysia, Malaysia Litte League dan banyak lagi, maka limpahan ekonomi kepada negara menjadi lebih besar.
“(Selain itu) program seperti Malaysia Future Leaders School (MFLS) pula dapat menyemarakkan potensi belia sebagai pemimpin, pendedahan tentang tanggungjawab mereka melalui Undi18 dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Stadium Mini Arena Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Uda, di sini hari ini.
Ahmad Faizal berkata pihaknya juga mahu memperhebat pembangunan e-sukan yang dilihat mempunyai potensi besar untuk dikembangkan, selain program-program pembangunan belia.
Belanjawan 2023 dijangka dibentang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 7 Okt ini.
Sebelum ini, Ismail Sabri dilaporkan berkata belanjawan kali ini antara lain akan memberi penekanan kepada kebajikan Keluarga Malaysia, selain mengambil kira kesediaan negara berdepan kemungkinan krisis ekonomi global yang lebih mencabar berbanding sebelum ini.- BERNAMA
Leave a Reply