TIGA Kapal Peronda Luar Persisir (OPV) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang sepatutnya diterima pada 2020 kini masih dalam pembinaan dan berada di Pulau Indah, Klang.
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Pengarah APMM, Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, pandemik Covid-19 menjadi punca kelewatan penyerahan kapal yang dibina oleh syarikat tempatan iaitu THHE Destini Sdn Bhd itu.
“Kapal OPV 1 yang sepatutnya dilancarkan ke air pada hari ini iaitu 13 September 2022, masih gagal dilakukan, kerana kapal masih tidak berjaya dibawa ke lokasi pelancaran.
“Berikutan itu syarikat berkenaan akan mengubah cara pelancaran iaitu daripada Launching Cradle kepada sistem pelancaran Air Balloon dan ia dijangka direalisasikan pada 10 Oktober ini.
“Sekiranya semua berjalan dengan lancar dan jika pelancaran itu dapat direalisasikan pada tarikh berkenaan, besar kemungkinan untuk kapal OPV 1 dapat diserahkan kepada pihak APMM pada awal 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan mendedahkan timbul tanda tanya mengenai status tiga kapal OPV Maritim Malaysia yang masih belum diterima.
Agensi itu sepatutnya menerima sebuah kapal OPV pada Ogos selepas kerajaan memberi lanjutan sehingga 18 bulan kepada syarikat TH Heavy untuk menyiapkan tiga kapal OPV berkenaan.
Dalam pada itu, Mohd Zubil berkata, dua lagi kapal iaitu OPV 2 dan OPV 3 akan diserahkan kepada pihaknya secara berperingkat.
“Besar harapan agensi ini supaya ketiga-tiga kapal dapat disiapkan dan diserahkan kepada pihak APMM dengan kadar segera walaupun ia sudah dua tahun melewati dari tarikh asal penyerahan.
“Ketiga-tiga kapal OPV ini amat diperlukan oleh pihak APMM pada masa kini bagi menguatkuasakan undang-undang di dalam perairan negara,” katanya.
Leave a Reply